Berita

Sweet Qismina Turun 7kg Demi Watak

Pelakon, Sweet Qismina, 29, mendedahkan dia melakukan transformasi fizikal yang agak drastik demi memenuhi tuntutan watak dalam sebuah filem baharu yang dijadualkan menemui penonton tahun depan.

Menurut pemilik nama sebenar Farhanna Qismina Supandi, dia berjaya mengurangkan berat badan sebanyak tujuh kilogram dalam tempoh kira-kira sebulan selepas menjalani latihan kecergasan yang dirancang khusus bersama suaminya, aktor Adam Lee.

Katanya, persediaan itu bermula sebaik sahaja pihak produksi memaklumkan bahawa watak yang bakal dibawanya memerlukan tahap kecergasan dan stamina yang tinggi.

“Mereka beritahu saya watak ini memerlukan kekuatan fizikal dan badan yang benar-benar cergas. Daripada situ saya sudah dapat gambaran bahawa saya perlu melakukan perubahan dari segi rutin harian.

“Kemudian kami berbincang bersama pihak produksi, pengurus dan Adam yang juga menjadi jurulatih peribadi saya. Dari situlah bermulanya misi saya untuk mendapatkan bentuk badan yang diperlukan dalam tempoh sebulan,” katanya.

Berkongsi lanjut, Sweet berkata dia memberi komitmen penuh sepanjang tempoh persediaan termasuk mengawal pemakanan dan melakukan senaman secara konsisten.

Katanya, berat badannya ketika itu mencecah sekitar 55 hingga 56 kilogram sebelum berjaya diturunkan bagi memastikan tubuhnya lebih ringan ketika menjalani penggambaran.

“Sepanjang penggambaran memang banyak babak yang memerlukan saya berlari di dalam hutan dan melakukan aktiviti lasak. Sebab itu saya perlu pastikan stamina berada pada tahap terbaik.

“Setiap malam Adam akan ajak saya berjoging di Stadium Bukit Jalil. Sasaran kami sekurang-kurangnya tiga kilometer tanpa berhenti. Memang penat, tetapi itu antara latihan yang paling banyak membantu,” katanya.

Tambah Sweet, perubahan gaya hidup itu bukan hanya tertumpu kepada senaman, malah dia turut mengurangkan pengambilan makanan dan gula bagi mempercepatkan proses pembakaran lemak.

“Pada mulanya berat memang cepat turun, tetapi apabila sampai satu tahap ia menjadi lebih sukar. Jadi Adam cadangkan saya lebihkan senaman kerana ia lebih berkesan untuk membakar lemak.

“Saya bukan jenis yang rajin ke gim, jadi berjoging menjadi pilihan paling sesuai walaupun pada mulanya memang terasa mencabar,” kongsinya.

Dalam pada itu, Sweet berkata dia tidak pernah memilih jalan singkat seperti menggunakan suntikan pelangsing kerana lebih yakin dengan kaedah semula jadi yang sesuai dengan tubuh badannya.

“Taklah kata saya menolak terus. Setiap orang ada pilihan masing-masing. Cuma saya lebih selesa dengan cara yang saya sudah tahu berkesan untuk badan sendiri.

“Sebelum ini ketika menjalani penggambaran filem BABA, saya sudah belajar tentang diet cecair dan cara mengawal pemakanan. Jadi saya faham apa yang sesuai dengan badan saya.

“Alhamdulillah, saya juga dikurniakan badan yang agak mudah berubah. Kalau berat naik memang cepat, tetapi kalau saya disiplin menjaga makan dan bersenam, berat itu juga mudah turun,” menurutnya.

Difahamkan, Sweet bakal muncul menerusi sebuah filem bergenre thriller dan slasher yang turut dibintangi Azira Shafinaz, Amir Nafiz, Namie serta Fimie Don.

Related Articles

Back to top button