Keluar Dari ‘Istana’, Ines Harap Tuah Radar Menjadi
Mahu mengembangkan bakat yang ada di dalam diri dan dalam masa yang sama melakukan apa yang diminati membuatkan gadis yang satu ini berani keluar dari zon selesa.
Pendatang baharu, Yang Mulia Tunku Ines Najihah Raden, 21, atau nama pentasnya, Ines meneruskan langkah kerjaya nyanyiannya dengan melancarkan single lagu keduanya berjudul Radar dalam satu majlis istimewa baru-baru ini.
“Radar adalah lagu solo pertama saya. Lagu ini sangat istimewa kerana saya menjadi diri sendiri,” kata gadis bergelar kerabat diraja Negeri Sembilan ini.
Ines merupakan kesayangan Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dan Yang Mulia Tunku Dato’ Seri Mimi Wahida Raden ini.
Radar mengisahkan kisah seorang gadis yang menyimpan perasaan terhadap seseorang.
Kehilangan insan tersebut yang tiba-tiba hilang tanpa sebarang khabar menyebabkan dia tertanya-tanya apa kesudahan hubungan mereka.
Lagu ciptaan Shazriq Azeman, Omar K dan Iqie Hugh ini sebenarnya amat bertepatan dengan jiwa muda Ines yang lebih dekat dengan genre pop rock sekaligus menjadikan taruhan utamanya bergerak sebagai artis solo.
Bercerita lanjut tentang kerjasama dengan Omar K dan Iqie Hugh, Ines memberitahu kedua-dua lelaki tersebut banyak memberi tunjuk ajar kepadanya dari saat awal perbincangan lagu hingga ke akhir rakaman dibuat.
Sebagai penyanyi baharu, sudah pastinya Ines memerlukan bimbingan dan pandangan bernas daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang muzik.
Ines mahu muzik yang dihasilkan itu bertepatan dengan dirinya agar dia lebih yakin bersaing dengan penyanyi sedia ada.
“Saya selesa bekerjasama dengan Omar K dan Iqie Hugh. Mereka sangat berbakat dan tidak pernah lokek ilmu. Banyak perkongsian dibuat dan saya sangat berterima kasih,” ujar pelajar
tahun akhir jurusan Komputer Sains di Universiti Nottingham ini.
Tentang bimbingan melodi Radar, ia terhasil selepas perbincangan dengan Ines bagi
menentukan hala tuju genre bersesuaian dengannya. Dengan mengambil kira soal jiwa muda Ines, maka terhasillah lirik dan melodi lagu seperti yang boleh didengari melalui karya ini.
Dalam majlis berkenaan, Ines turut melancarkan video muzik (MV) yang begitu lain daripada kebiasaan.
Dia mahu menjadi ratu di lautan dan tidak hairanlah konsep yang dipilih juga dipengaruhi elemen radar marin kapal laut seperti yang dikehendaki.

Untungnya, Ines mendapat kerjasama daripada sekumpulan anak muda daripada syarikat produksi PT Lvcid Surya Kreatif yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia.
Pengambaran muzik video Radar memakan masa tiga hari untuk disiapkan. Kawasan
penggambaran terlibat di ibu kota Jakarta, Indonesia dan Pantai Goa Langir Sawarna, Banten hasil garapan idea daripada Ines sendiri.
Mengimbas kembali perjalanan seni gadis ini, Ines terlebih dahulu memulakan karier dengan merakamkan lagu Andai ciptaan Edry Abdul Halim.
Selain Radar dan Andai, Ines juga bakal merakamkan lagu ketiga dan keempatnya tidak lama lagi.
Ines juga bertuah kerana mendapat sokongan padu daripada Kelab Peminat Inesonic yang sentiasa memberi sokongan padu sepanjang perjalanan seninya bermula.