Misteri Kematian 4 Beranak, Makan Biryani & Tembikai Sebelum Maut

Pihak berkuasa di Mumbai, India kini sedang menyiasat kematian mengejut sebuah keluarga empat beranak yang meninggal dunia beberapa jam selepas menikmati hidangan beriani diikuti dengan tembikai pada sebelah malam.
Hidangan beriani tersebut merupakan makan malam lewat yang dinikmati bersama saudara-mara sekitar pukul 10:30 malam pada 25 April, manakala hanya empat ahli keluarga itu sahaja yang memakan tembikai kira-kira pukul 1 pagi.
Menurut laporan yang memetik pihak polis, tiada seorang pun daripada saudara-mara yang turut menikmati hidangan biryani tersebut mengalami sebarang gejala penyakit.
Namun, beberapa jam kemudian sekitar jam 5:30 pagi, keempat-empat ahli keluarga itu, terdiri daripada dua anak perempuan dan ibu bapa mereka mula mengalami muntah, cirit-birit serta simptom serius lain. Dalam keadaan kritikal, mereka dikejarkan ke hospital.
Anak perempuan bongsu berusia 12 tahun dilaporkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital sekitar pukul 10:30 pagi. Petugas kecemasan memaklumkan terdapat buih di mulut mangsa.
Anak kedua berusia 16 tahun serta ibunya yang berusia 35 tahun meninggal dunia pada petang hari yang sama walaupun menerima rawatan rapi, diikuti oleh bapa berusia 44 tahun sekitar pukul 10:15 malam.
Kematian ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pakar perubatan.
Doktor di Sir JJ Hospital, tempat keluarga tersebut dirawat, berpendapat adalah sangat tidak mungkin tembikai, walaupun sudah tidak segar, boleh menyebabkan kemerosotan kesihatan yang begitu pantas dan membawa maut kepada kesemua mereka.
Seorang doktor kanan yang terlibat dalam rawatan menyatakan kemungkinan faktor lain seperti bahan pencemar atau bahan tambahan, dan menegaskan bahawa tiada sebarang kemungkinan boleh diketepikan buat masa ini.
Seorang pegawai perubatan kanan hospital turut menyatakan bahawa kes ini tidak menepati ciri-ciri keracunan makanan biasa.
“Keracunan makanan lazimnya tidak menyebabkan kemerosotan yang begitu cepat dan teruk.
“Kadar kemerosotan, tahap serius keadaan, serta fakta bahawa beberapa ahli keluarga terjejas serentak tidak selari dengan kes keracunan makanan biasa,” katanya.
Sebaliknya, dia mencadangkan kemungkinan punca melibatkan bahan toksik atau kimia.
Keluarga tersebut juga berada dalam keadaan separa sedar ketika dibawa ke hospital.
Menurut pegawai itu lagi, kemerosotan neurologi yang pantas serta kehilangan kesedaran lebih menunjukkan pendedahan kepada agen luar yang kuat.
Pemeriksaan bedah siasat telah dijalankan, namun pihak berkuasa masih menunggu laporan forensik lanjut bagi menentukan punca sebenar kematian.
Sampel tembikai yang dimakan turut diambil untuk tujuan ujian.
Sementara siasatan diteruskan, pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan. Pada masa sama, beberapa doktor tempatan memberi jaminan bahawa tembikai secara amnya selamat untuk dimakan.



