Berdepan Saman RM31 Juta Daripada Penaja, Kim Soo Hyun Mahu Saman Balas YouTuber RM94 Juta

Prosiding saman sivil antara pelakon Kim Soo Hyun dan beberapa syarikat pengiklan yang pernah bekerjasama dengannya kini kembali diteruskan.
Perbicaraan melibatkan tuntutan sebanyak 2.8 bilion won (RM7.2 juta) yang difailkan oleh sebuah syarikat kosmetik akan disambung semula pada 3 Julai depan. Syarikat tersebut sebelum ini membatalkan kontrak permodelan Kim Soo Hyun selepas pelbagai khabar angin berkaitan kehidupan peribadinya tersebar tahun lalu.
Selain itu, sebuah lagi syarikat makanan kesihatan turut menyambung semula tindakan undang-undang mereka yang melibatkan tuntutan hampir 4 bilion won (RM10.33 juta).
Secara keseluruhannya, Kim Soo Hyun kini berdepan tuntutan saman bernilai kira-kira 10 bilion won (RM25.8 juta) daripada beberapa jenama yang menamatkan kerjasama dengannya susulan kontroversi yang tercetus.
Perbicaraan-perbicaraan ini disambung semula selepas penahanan YouTuber Kim Se Ui baru-baru ini.
Menurut polis, YouTuber tersebut didakwa menyebarkan maklumat palsu yang serius mengenai Kim Soo Hyun.
Antara dakwaan yang disebarkan ialah kononnya pelakon itu pernah menjalinkan hubungan dengan mendiang pelakon Kim Sae Ron dan menyebabkan kematiannya akibat tekanan berkaitan isu kewangan.
Polis turut mendakwa bahawa Kim Se Ui menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan rakaman suara palsu serta mereka-reka perbualan mesej bagi mencemarkan reputasi pelakon berkenaan.
Susulan penahanan itu, agensi Kim Soo Hyun, Gold Medalist, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha mencari kebenaran serta terus memberikan sokongan sepanjang tempoh kontroversi tersebut.
Kini, Kim Soo Hyun dilaporkan bersedia untuk mengambil tindakan balas.
Pelakon itu merancang untuk meningkatkan tuntutan saman ganti rugi terhadap Kim Se Ui daripada 12 bilion won (RM30 juta) kepada 30 bilion won (RM77.5 juta), berikutan kerosakan yang didakwa dialaminya terhadap kehidupan peribadi dan kerjayanya akibat penyebaran maklumat palsu tersebut.



