Concert

Faizal Tahir Berulang Kali Fikir Nak Bersara Dari Industri

Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir, 47, mengakui hasrat untuk bersara daripada dunia seni bukanlah perkara baharu, malah sudah lama bermain di fikirannya sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni.

Menurut pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Mohammad Tahir, dia tidak pernah berniat untuk berselindung mengenai perkara itu kerana keinginan tersebut sudah berkali-kali hadir dalam hidupnya.

“Saya tidak akan cakap benda yang saya tak maksudkan. Saya tak boleh bersembunyi atau menipu dengan mengatakan perkara itu tidak pernah terlintas.

“Sudah bertahun-tahun dan berkali-kali saya terfikir untuk bersara. Saya harap suatu hari nanti perkara itu dimakbulkan juga, insya-Allah,” katanya.

Tambah Faizal, perjalanan hidup dan pengalaman yang dilalui sepanjang berada dalam industri banyak mengubah cara pandangnya terhadap kehidupan.

“Banyak perkara berubah dalam hidup. Sebab itu soal bersara memang sentiasa bermain di fikiran saya, bukan sekali dua tetapi terlalu banyak kali.

“Malah orang di sekeliling termasuk pihak pengurusan dan peminat pun sering mendoakan supaya saya tidak bersara,” katanya.

Menurut Faizal lagi, tema ‘suara rakyat’ yang ingin diketengahkan menerusi konsertnya, Konsert Suara Rakyat juga lahir daripada permintaan ramai yang mahu dia terus aktif dalam industri hiburan.

“Saya rasa itu antara sebab kenapa konsert ini membawa tema suara rakyat sebab akhirnya saya tewas dengan permintaan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Faizal berkata dia melihat bakat yang dimiliki sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang perlu diteruskan demi menghargai sokongan peminat.

“Mahu atau tidak, saya kena terima bahawa orang masih mahu melihat saya membuat persembahan di atas pentas.

“Ini adalah tanggungjawab saya. Kalau saya tidak menjalankan tanggungjawab ini, saya rasa seperti berdosa,” katanya.

Faizal turut bersyukur kerana dikurniakan perjalanan seni selama 20 tahun yang disifatkan penuh berkat dan memberi peluang untuk menyentuh kehidupan ramai orang menerusi muzik.

Terdahulu, Faizal mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat selepas memuat naik sebuah video di Instagram berserta kapsyen seakan memberi bayangan mengenai persaraannya.

Related Articles

Back to top button