Global

Jual Harta Benda, Pasangan Ini Menetap Dalam Kapal Persiaran

Pada 2019, Jeff Knapp menaiki sebuah kapal persiaran dan membuat keputusan bahawa dia lebih rela hidup di laut berbanding di darat.

Sehingga dua tahun lalu, dia bertemu isterinya, Debb Knapp, yang turut meninggalkan kehidupan di darat untuk menetap sepenuh masa di atas kapal persiaran.

Bersama-sama, pasangan itu memilih ‘kehidupan yang penuh kebebasan’ dengan menjual semua harta mereka termasuk rumah dan kereta, lalu menjalani kehidupan hanya berbekalkan 12 buah beg pakaian di lautan.

“Kami telah tinggal di atas kapal sepenuh masa selama lebih dua tahun dan merancang untuk terus hidup di laut selama-lamanya,” kata mereka di laman web peribadi pasangan tersebut.

Dalam satu artikel yang diterbitkan oleh akhbar Britain, The Guardian, Jeff menulis bahawa sehingga usia 47 tahun, dia beranggapan percutian kapal persiaran adalah sesuatu yang mengarut.

Namun pada tahun 2019, seorang rakannya menghadiahkan tiket pelayaran Caribbean bernilai hanya beberapa ratus dolar kerana tidak dapat menghadiri perjalanan tersebut.

Walaupun bimbang mengalami mabuk laut, Jeff menerima tawaran itu dan membawa pelbagai ubat pencegah mabuk perjalanan.

Namun sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Dia langsung tidak mengalami mabuk laut.
Malah, dia terlalu santai sehingga terlepas acara ‘sail away party’, iaitu majlis yang biasanya dihadiri penumpang bagi meraikan permulaan pelayaran.

Ketika itulah cintanya terhadap kehidupan kapal persiaran bermula.

“Walaupun berada di tengah lautan, saya langsung tidak rasa mabuk. Saya tersenyum lega. Itulah saat saya jatuh cinta dengan kehidupan di atas kapal. Ia bukan sekadar kerana ketenangan yang datang daripada dikelilingi air.

“Saya menghidap OCD yang agak serius dan saya suka melakukan perkara yang sama setiap hari. Kapal persiaran sangat sesuai kerana saya boleh makan hidangan yang sama di meja yang sama dengan pelayan yang sama, dan setiap aktiviti mempunyai jadual yang teratur serta boleh dijangka.”

Menjelang 2024, Jeff telah menyertai 20 pelayaran.

Menjawab beberapa soalan lazim, Jeff berkata mereka tidak mengalami kenaikan berat badan walaupun tinggal di atas kapal kerana kurang mengambil makanan diproses dan banyak berjalan kaki.

Walaupun berkongsi kabin kecil seluas hanya 23 meter persegi, pasangan itu berjaya menguruskan sebarang perselisihan dengan baik.

Jeff turut berkata mereka tidak terlalu bimbang mengenai penyakit berjangkit.

“Kami sentiasa mendapatkan maklumat yang tepat dan sedar bahawa banyak laporan mengenai perkara ini sering dibesar-besarkan. Berdasarkan apa yang kami fahami, penyakit seperti itu juga boleh merebak di mana-mana kawasan yang sesak di darat.”

Kini pada usia 54 tahun, Jeff berkata dia sedang menikmati kehidupan impiannya.

“Tidak lama lagi kami akan ke Eropah, Mexico dan Bermuda, dan saya tidak sabar menantikannya.

“Saya harap kehidupan kami di atas air akan berterusan selama-lamanya,” katanya.

Menurut laman web pasangan itu, mereka sudah menempah pelayaran tanpa henti sehingga April 2028.

Related Articles

Back to top button