Wajah Dikategori Terlalu Tampan, Malek Mccrone Susah ‘Cari Makan’

Pelakon, Malek Mccrone, 32, mengakui rupa paras yang sering dipuji bukanlah tiket mudah untuknya mencipta nama dalam industri seni, malah kadangkala menjadi penghalang.
Menurut Malek, wajah tampan dan aura Pan-Asian yang dimilikinya pernah menyebabkan dia terlepas beberapa peluang lakonan apabila dianggap tidak sesuai dengan karakter tertentu.
“Sejujurnya, memang ada tawaran yang pada awalnya mahu ambil saya, tetapi akhirnya mereka kata saya terlalu kacak untuk watak itu. Bagi saya, di Malaysia ini ramai lagi yang kacak,” katanya.
Tambah Malek, faktor wajah Pan-Asian juga sedikit sebanyak mempengaruhi perjalanan kariernya, memandangkan tidak ramai pelakon lelaki tempatan memiliki rupa seumpamanya.
“Mungkin itu juga salah satu faktor. Kalau tengok dalam kalangan pelakon lelaki, tak ramai yang berwajah Pan-Asian berbanding wanita.
“Tapi sebagai pelakon, kita kena jadi seperti ‘kameleon’, perlu menyesuaikan diri dengan apa sahaja watak yang diberikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Malek menegaskan dia bukan seorang yang terlalu memilih watak, sebaliknya lebih mengutamakan kualiti skrip serta kredibiliti pasukan produksi.
“Sebagai pelakon, sudah tentu kita mahukan skrip yang baik dan pasukan kerja yang bagus. Bukan memilih, tetapi mahu hasil yang terbaik,” jelasnya lagi.
Tidak menjadikan situasi tersebut sebagai halangan, Malek melihatnya sebagai cabaran untuk terus memperbaiki diri dan membuktikan kemampuan sebagai pelakon versatil.
Malah, dia juga tidak keberatan melakukan perubahan drastik dari segi penampilan demi menjayakan sesuatu watak.
“Kalau watak itu perlukan saya nampak selekeh atau ‘buruk’, saya sanggup. Nak botakkan kepala atau tampil dengan gaya ekstrem seperti skinhead pun tiada masalah. Yang penting, watak itu sampai kepada penonton,” ungkap Malek.



