Viral

“Itu Bukan Saya”

Pelakon, Siti Khadijah, 29, berang apabila gambarnya disunting dan dikaitkan dengan pempengaruh kontroversi, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli atau dikenali sebagai Daddy Ash, sehingga menjejaskan reputasinya.

Siti Khadijah menyifatkan tindakan tidak bertanggungjawab itu sebagai melampaui batas, malah memberi bayangan tidak akan berdiam diri dan berhasrat mengambil tindakan undang-undang.

“Saya serius mahu ambil tindakan. Bukan sekadar laporan polis tanpa hasil. Ada sesiapa boleh beritahu bagaimana untuk pastikan individu ini dikenakan hukuman setimpal? Saya benar-benar meluat dengan perkara ini,” luahnya menerusi satu hantaran.

Tambah Siti Khadijah, dia tidak mahu namanya terus dikaitkan dengan perkara tidak bermoral, apatah lagi melibatkan suntingan palsu yang jelas memberi gambaran buruk terhadap dirinya.

“Lain kali jangan libatkan saya dalam perkara bodoh seperti itu. Terang-terang itu bukan saya. Saya tidak akan buat perkara sedemikian. Fokus saya hanya kerja dan kumpul duit untuk masa depan,” tegasnya.

Menurutnya lagi, dia sebelum ini memilih untuk tidak melayan cakap-cakap belakang, namun kali ini situasi berbeza kerana ia sudah melibatkan maruah diri.

“Dulu orang bercakap belakang, saya tak peduli. Tapi kali ini awak sudah melampaui batas. Insya-Allah saya akan cari dan saman,” tegasnya lagi.

Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-rata menyokong tindakan tegas diambil oleh pelakon berkenaan.

Ramai menyifatkan penyalahgunaan teknologi seperti suntingan imej dan kecerdasan buatan (AI) semakin membimbangkan kerana boleh menjatuhkan maruah individu.

Untuk rekod, Daddy Ash sebelum ini sering mencetuskan kontroversi di media sosial dan pernah dikaitkan dengan pelbagai isu panas termasuk kandungan tidak senonoh serta kes melibatkan mahkamah.

Related Articles

Back to top button