Mahu Beri Kelainan, SonaOne Pilih Penyanyi Vietnam Dalam Karya Terbaharu

Mahu Beri Kelainan, SonaOne Pilih Penyanyi Vietnam Dalam Karya Terbaharu

Mahu mencari kelainan, SonaOne memberanikan diri memilih penyanyi pop rap sensasi dari Vietnam, Tlinh, bagi menghidupkan lagu Polite yang merupakan taruhan terbaharu mereka.

Ditulis oleh SonaOne, Tlinh, dan Sya, lagu ini menyatukan dua budaya dan gaya muzik yang berbeza dalam satu kolaborasi yang harmoni.

Secara asasnya, Polite mengisahkan perasaan yang tidak terucap, detik apabila cinta masih wujud, namun komunikasi semakin pudar. 

Dihasilkan dengan emosi yang tulus dan sentuhan produksi yang atmosferik, lagu ini menggambarkan ruang di antara keinginan untuk bersuara dan perasaan yang ditahan. 

Ia merupakan refleksi jujur tentang hubungan yang tergantung antara harapan dan keraguan, di mana kata-kata yang tidak diucapkan sering kali membawa makna paling mendalam.

Menemani SonaOne dalam lagu ini ialah Tlinh, salah seorang artis generasi baharu paling berpengaruh di Vietnam. Tlinh mula mencipta nama sebagai satu-satunya peserta wanita yang berjaya ke Top 8 dalam musim pertama Rap Việt. 

Kini, beliau merupakan artis wanita Vietnam nombor satu di Spotify dengan jumlah pendengar bulanan tertinggi dan album debutnya, ái, tersenarai dalam senarai ‘Best Asian Albums of 2023’ oleh NME. 

Dinobatkan sebagai Female Artist/Rapper Of The Year di Làn Sóng Xanh 2024, Tlinh dikenali kerana gaya muziknya yang berani dan melangkaui sempadan genre, menjadikannya suara utama dalam generasi baharu muzik Vietnam.

Tlinh merupakan antara penyanyi paling berpengaruh di Vietnam.

Berkongsi tentang bagaimana kolaborasi ini terjalin, SonaOne berkata dia sudah mula mencipta lagu ini sejak 2020 lagi ketika dunia sedang berperang dengan wabak Covid19.

“Saya sebenarnya telah merakam demo pertama bersama penyanyi-penulis lagu Malaysia, Sya, semasa tempoh ‘lockdown’. 

“Saya sukakan lagu ini, tetapi belum menemui arah yang sesuai untuknya sehinggalah pasukan Def Jam Malaysia mencadangkan Tlinh. Selepas beberapa kali berkunjung ke Ho Chi Minh City, akhirnya semuanya menjadi nyata,” kata SonaOne.

Bagi Tlinh, projek ini memberikan peluang untuk bereksperimen dari segi bunyi sambil mengekalkan emosi yang tulus. 

“Apabila pertama kali mendengar Polite, saya rasa beat naskhah ini sangat menarik dan melodinya mudah diingati. Saya hanya ikut naluri dan cipta berdasarkan apa yang saya rasa betul.

“Bekerja dengan SonaOne sangat mudah. Dia sangat menyokong dan memberi galakan. Saya harap pendengar turut berasa seronok apabila mendengarnya,” katanya.

Gabungan SonaOne dan Tlinh mencipta keseimbangan halus antara produksi yang licin, melodi penuh jiwa dan emosi yang mendalam. 

Menjelaskan visi produksinya, SonaOne  menganggap Polite seperti ribut yang tenang seolah-olah menahan kata-kata yang ingin diungkapkan.

Lebih daripada sekadar lagu, SonaOne turut berkunjung ke Ho Chi Minh City bagi menjalani penggambaran video muzik Polite bersama Tlinh, menandakan penggambaran rasmi pertamanya di Vietnam. 

Video muzik ini diterbitkan dengan kerjasama pasukan produksi tempatan Vietnam, menggabungkan visi kreatif kedua-dua artis dalam sebuah representasi sinematik yang menggambarkan inti emosi lagu tersebut. 

Berlatar belakangkan suasana kota Ho Chi Minh yang hidup namun intim, video muzik ini menangkap dualiti yang sama seperti lagu itu, kelembutan dan jarak, kejujuran dan keraguan.

Setelah bertahun dalam pembikinan, kedua-dua artis kini bersedia mempersembahkan lagu ini kepada dunia. 

Lagu ini mencerminkan pencarian SonaOne terhadap kejelasan emosi dan kebenaran dalam saat di mana kata-kata gagal diucapkan. 

“Jika lagu ini dapat membuat seseorang berasa kurang keseorangan, walau hanya untuk tiga minit itu, maka saya sudah berjaya,” kata SonaOne yang mengharapkan maklum balas positif daripada peminat.

Related post

Leave a Reply