Pramugari Tegur Naik Pesawat Kelas Ekonomi, Fasha Sandha Rasa Diri Dihina

PELAKON, Fasha Sandha, 41, berkongsi pengalaman kurang menyenangkan ketika menaiki pesawat sebuah syarikat penerbangan untuk pulang beraya ke kampung halaman, baru-baru ini.

Merasakan diri dihina di hadapan penumpang lain, pemilik nama lengkap Nur Fasha Sandha Hassan, berkata, seorang pramugari mempertikaikan tindakannya menaiki pesawat dengan kelas ekonomi.

“Kisah ini berlaku pada 30 Mac lalu dan coretan ini buat semua pramugari di dunia ini. Seorang pramugari menyambut kedatangan saya dengan ayat ‘Fasha Sandha, economy class?’. Terkejut saya dan anak-anak.

“Sepanjang kami bercuti tidak pernah ditanya soalan sebegitu. Dalam keadaan berpuasa ketika itu, saya sangat kecewa.

“Saya ambil gambar pramugari itu dari jauh untuk buat aduan supaya dapat meningkatkan taraf servis syarikat penerbangan tersebut.

“Kemudian seorang pramugari datang dan minta maaf. Tak sepatutnya tanya perkara yang menggores hati penumpang,” luahnya menerusi hantaran di Instagram.

Pernah memasang impian untuk menjadi kru kabin, Fasha memberitahu perkongsiannya itu bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, tetapi berharap dijadikan pengajaran.

“Semoga dapat jadi kan pengajaran, ada benda boleh tanya, ada benda baik simpan dalam hati. Sebagai pramugari, belajarlah etika.

“Tanya soalan begitu tidak sesuai pada penumpang. Apa salahnya kalau saya, seorang selebriti duduk di kelas ekonomi.

“Dengan soalan itu, kami ibarat dihina dikhalayak ramai. Walaupun awak dah cakap maaf dan hantar pizza untuk anak-anak saya, tak dapat mengubati luka ini,” ungkapnya.

Tambah isteri kepada aktor Aidil Aziz itu, dia memilih untuk menaiki kelas ekonomi atas dasar berjimat.

“Mampu atau tidak, belakang kira tapi saya pilih untuk berjimat-cermat daripada membazir perkara tidak perlu.

“Apa salahnya kami naik kelas ekonomi? Kelas ekonomi atau bisnes, kita semua sama,” tuturnya lagi.

Related post

Leave a Reply