Viral

Pelanggan Disaman Kedai Kek Sebab Beri Review Tak Sedap, Tapi Mahkamah Tolak Kes

Seorang pelanggan yang memberikan ulasan satu bintang kepada sebuah kedai kek terkenal di Phuket, Thailand, disaman atas dakwaan fitnah selepas pemilik perniagaan itu menuntut ganti rugi sebanyak 5 juta baht (RM606,809).

Bagaimanapun, pada 23 Julai, Mahkamah Phuket menolak saman tersebut, menurut peguam yang mewakili pelanggan berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook.

“Pengguna menang,” tulisnya pada kapsyen hantaran yang turut memaparkan gambarnya bersama anak guamnya.

Kedai kek berkenaan, yang dipercayai dikenali sebagai Sharky Eye, dilaporkan telah menghentikan operasi.

Menurut The Thaiger, pada tahun 2025, pelanggan itu mengunjungi kedai berkenaan sebelum meninggalkan ulasan dalam talian yang menyatakan kek dijual tidak sedap dan terlalu mahal. Ulasan tersebut dilaporkan tular ketika itu.

Dalam hantaran Facebooknya, peguam Arm Suwannaraksa berkata, pemilik kedai memilih untuk menyaman pelanggan itu daripada mendengar maklum balas atau mendapatkan penjelasan mengenai ulasan yang diberikan.

Selepas keputusan mahkamah diumumkan, pelanggan berkenaan, Bootsakorn Plesamoot, berkongsi tangkap layar perbualannya dengan pihak kedai mengenai ulasan tersebut.

Dalam salah satu mesej, pihak kedai didakwa mengugut untuk menyusahkannya sekiranya dia enggan memadam ulasan berkenaan.

“Saya tidak tahu bagaimana anda memberi ulasan kepada kedai lain, tetapi jika anda tidak mahu menghadapi masalah dan ingin keluar daripada situasi yang tidak selesa ini, saya cadangkan anda padam ulasan itu. Selepas itu semuanya akan selesai,” ujar kedai berkenaan.

Sharky Eye turut memuat naik hantaran di Facebook yang hanya memaklumkan bahawa kes tersebut telah ditolak oleh mahkamah.

Suwannaraksa berpendapat kes itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada pemilik perniagaan di Thailand.

Menurutnya, tindakan menyaman pengguna tidak seharusnya menjadi pilihan pertama, sebaliknya langkah terakhir.

Beliau berkata, kritikan jujur daripada pelanggan wajar didengar dan dijadikan peluang untuk menambah baik perniagaan atau dijawab secara profesional, bukannya dibalas dengan tindakan undang-undang.

“Sebagai seorang peguam, jika saya memberi nasihat kepada pemilik perniagaan, saya sentiasa akan mengatakan bahawa komunikasi yang baik dan penyelesaian masalah secara profesional biasanya memberikan hasil yang lebih baik daripada membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.

Menurut The Thaiger, kes seperti ini bukan sesuatu yang luar biasa di Thailand, apabila beberapa perniagaan sebelum ini menggunakan undang-undang fitnah negara itu terhadap pelanggan yang memberikan kritikan.

Pakar undang-undang menyifatkan saman seumpama itu sebagai Strategic Lawsuits Against Public Participation (SLAPP), iaitu tindakan undang-undang yang didakwa bertujuan membungkam pengkritik dengan membebankan mereka dari segi kewangan dan emosi.

Related Articles

Back to top button