Viral

Wanita Terkejut Temui Akar ‘Pokok Bersama Tanah’ Dalam Sandwich

Seorang wanita terkejut selepas mendakwa menemui sebatang akar pokok lengkap dengan tanah yang masih melekat di dalam sandwic yang dibelinya dari sebuah kafe di Ampang.

Menerusi perkongsian di Threads, pengguna @rsyarzmnn berkata dia telah membeli sandwich daging salami secara bungkus sebelum membawanya ke tempat kerja untuk dimakan.

Berdasarkan gambar dan video yang dimuat naik, kelihatan sebatang akar yang panjang tergantung pada sayur-sayuran di dalam sandwich tersebut, dengan tanah yang dipercayai masih melekat padanya.

“Saya pesan sandwich beef salami dari sebuah kafe di Ampang, sekali dapat akar dan tanah secara percuma.

“Ia masih terlalu segar sampai rasa macam boleh tanam semula. Tolonglah jaga kebersihan makanan,” tulisnya.

Wanita itu berkata, dia berharap pihak kafe dapat memperbaiki proses penyediaan makanan dan tahap kebersihan mereka kerana tiada pelanggan sepatutnya berdepan pengalaman seperti itu.

Menjawab pertanyaan netizen, dia menjelaskan bahawa sandwich tersebut dibeli secara bungkus dan hanya dibuka ketika berada di tempat kerja.

Nasib baik, dia memotong sandwich berkenaan terlebih dahulu sebelum memakannya, sekali gus menyedari kewujudan akar tersebut. Dia juga memaklumkan tidak mengalami sebarang ketidakselesaan atau masalah kesihatan selepas kejadian itu.

Menurutnya lagi, dia telah meninggalkan ulasan di Google serta membuat aduan kepada pihak kafe, namun memilih untuk tidak mendedahkan nama atau menandakan akaun kafe berkenaan dalam hantarannya.

“Saya tak sebut atau tag nama kafe sebab niat saya bukan untuk memalukan mereka atau menjatuhkan perniagaan mereka. Saya cuma berkongsi pengalaman yang memang tak sepatutnya berlaku,” jelasnya.

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Ada yang berpendapat dia sepatutnya menghubungi pihak kafe terlebih dahulu sebelum berkongsi perkara tersebut di media sosial kerana mungkin mereka boleh menawarkan bayaran balik atau menggantikan makanan tersebut.

Seorang pengguna yang mendakwa bekerja dalam industri makanan dan minuman (F&B) turut berpendapat bahawa berkongsi perkara itu secara terbuka tanpa memberi peluang kepada pihak kafe untuk memberi penjelasan adalah kurang adil.

Bagaimanapun, wanita itu menjelaskan bahawa dia sendiri bekerja dalam industri F&B dan turut menyediakan sandwich di tempat kerjanya, justeru isu kebersihan makanan amat dititikberatkannya.

“Bayaran balik bukan isu utama saya. Yang lebih penting ialah kebersihan makanan,” katanya.

Pada masa sama, ramai netizen mempertahankan tindakannya berkongsi pengalaman tersebut dengan menyatakan bahawa sayur-sayuran sepatutnya dibasuh dan diperiksa dengan teliti sebelum dihidangkan kepada pelanggan.

Beberapa netizen turut menggesanya membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan. Namun, dia berkata ketika itu dia belum berbuat demikian kerana hanya mahu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengendalian makanan yang bersih.

Setakat ini, identiti kafe yang terlibat tidak didedahkan kepada umum dan pihak kafe juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

Related Articles

Back to top button