Curi Lebih RM687,000, Pembantu Rumah Beli Kondominium, Kereta, Tanah Di Filipina

Seorang pembantu rumah warga Filipina didapati mencuri wang tunai dan barang kemas bernilai kira-kira 217,000 dolar Singapura (RM687,704) daripada keluarga majikannya di Singapura sepanjang tempoh empat tahun.
Wanita itu mengosongkan peti besi milik majikannya sebelum menjual barang curi tersebut di Filipina dan menggunakan hasilnya untuk membeli unit kondominium, kereta serta tanah pertanian.
Pada 17 Julai, Raguindin Alma Bassig, 47, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dua bulan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri sebagai pembantu rumah. Menurut Shin Min Daily News, tiga lagi pertuduhan serupa turut diambil kira ketika menjatuhkan hukuman.
Hakim Daerah Koo Zhi Xuan menyifatkan jumlah keseluruhan harta yang dicuri sebagai amat besar dan berkata peluang untuk mendapatkan semula semua barangan tersebut adalah sangat tidak pasti, lapor CNA. Sehingga kini, tiada sebarang bayaran ganti rugi dibuat.
Raguindin telah bekerja dengan keluarga tersebut selama lebih sedekad selepas diambil bekerja oleh majikannya yang kini berusia 54 tahun sejak Mac 2016.
Menurut Shin Min, dia bertanggungjawab menguruskan kerja-kerja rumah bagi sebuah keluarga yang terdiri daripada empat orang, sekali gus mempunyai akses tanpa sekatan ke semua bilik di kediaman mereka.
Ini termasuk bilik tidur majikannya yang mempunyai sebuah peti besi disimpan di dalam almari pakaian yang tidak berkunci.
Pada tahun 2022, Raguindin menemui tiga anak kunci di dalam poket sehelai kot yang berada di dalam almari tersebut, lapor CNA. Dia kemudian menggunakan kunci itu untuk membuka peti besi dan mendapati terdapat wang tunai dalam pelbagai mata wang serta barang kemas.
Antara Januari hingga Disember 2022, dia mencuri wang tunai dalam mata wang Euro, Pound Sterling dan Yen Jepun. Dia juga mencuri pelbagai barang kemas termasuk beberapa koleksi Van Cleef & Arpels, Bulgari, emas, jed dan perak dengan nilai keseluruhan 77,851 dolar Singapura (RM246,720).
Raguindin membawa wang dan barang kemas yang dicuri itu pulang ke Filipina ketika bercuti.
Menurut CNA, wang tersebut ditukar kepada peso Filipina, manakala barang kemas pula dijual, digadai atau disimpan di rumahnya. Hasil kegiatan itu digunakan untuk membeli unit kondominium, kenderaan dan tanah pertanian di Filipina.
Pada Jun 2024, Raguindin sekali lagi mencuri daripada peti besi majikannya. Menurut Shin Min, antara barang yang diambil ialah:
Wang tunai dalam Ringgit Malaysia dan Dong Vietnam
12 gelang emas
Dua rantai emas 24 karat
Satu set barang kemas berlian
Dua syiling emas tulen 999
Beberapa lagi barang kemas emas
Barang paling mahal yang dicuri ialah satu set barang kemas berlian potongan princess-cut bernilai 18,000 dolar Singapura (RM57,048), menurut CNA.
Seperti sebelum ini, dia membawa semua barang tersebut pulang ke Filipina dan menggunakan hasil jualannya untuk membeli lebih banyak hartanah, kenderaan dan tanah. Kegiatan itu hanya terbongkar pada November 2025, apabila mangsa menyedari beberapa barang hilang daripada peti besi, namun pada mulanya menyangka ia sekadar tersalah letak.
Menurut CNA, mangsa yang hadir di mahkamah diberi peluang menyampaikan kenyataannya. Dia berkata dirinya berasa amat dikhianati oleh Raguindin yang telah bekerja dengannya selama lebih 10 tahun. Mangsa turut menyifatkan dirinya sebagai bodoh kerana terlalu mempercayai bekas pembantu rumahnya.
“Apabila saya melihat dia membuka peti besi saya, hati saya hancur. Saya tidak sangka dia sanggup melakukan perkara ini terhadap saya,” katanya.
Mangsa turut menjelaskan dia membenarkan Raguindin pulang ke Filipina setiap tahun dengan kos tiket penerbangan ditanggung sepenuhnya. Ia dibuat walaupun kontrak asal hanya membenarkan cuti pulang setiap dua tahun kerana anak-anak Raguindin ketika itu masih kecil.
Mangsa turut menolak dakwaan bahawa kecurian itu berpunca daripada masalah kewangan kerana hasil jenayah tersebut digunakan untuk membeli barangan mewah.
Tambahnya lagi, adik perempuan Raguindin pernah memaklumkan bahawa tertuduh juga tidak mengirim wang kepada ibu mereka di Filipina. Mangsa berkata beberapa barang kemas yang dicuri mempunyai nilai sentimental yang tinggi, termasuk barang kemas yang diwarisi daripada ibu mentuanya ketika dia berkahwin.
Menurut Shin Min, Raguindin menerima gaji bulanan sebanyak 1,200 dolar Singapura (RM3,803) serta bonus tahunan 2,000 dolar Singapura (RM6,338) daripada majikannya. Bagaimanapun, dia turut didakwa meminjam wang daripada pembantu rumah lain dan ah long.
Laporan Shin Min turut menyebut yang selepas penahanannya, pengutip hutang mengganggu mangsa dengan mendakwa Raguindin mempunyai hutang berjumlah ratusan hingga ribuan dolar Singapura.
Melalui jurubahasa, Raguindin memaklumkan kepada mahkamah yang dia kini tidak mempunyai sebarang wang apabila ditanya hakim mengenai jumlah aset yang dimilikinya.
Pihak pendakwaan memaklumkan mereka tidak akan memohon perintah pampasan, namun akan mempertimbangkan permohonan perintah penyitaan bagi membantu mangsa mendapatkan semula kerugiannya.
Hakim berkata mahkamah tidak boleh mengarahkan pembayaran pampasan sekiranya tertuduh tidak mempunyai kemampuan kewangan.
Beliau turut menjelaskan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat yang diminta mangsa bagi mendapatkan semula hartanya, namun mangsa bebas mengambil tindakan sivil.
Bagi kesalahan mencuri sebagai pembantu rumah, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda.



