Viral

Maxis Mohon Maaf Isu Bocor Data Peribadi Khairul Aming

Syarikat telekomunikasi Maxis tampil memohon maaf susulan insiden kebocoran maklumat akaun milik usahawan dan pempengaruh media sosial, Khairul Aming yang tular di media sosial.

Menerusi satu kenyataan, Maxis mengesahkan insiden itu berpunca daripada akses tanpa kebenaran dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurut syarikat berkenaan, individu yang dipercayai terbabit sudah dikenal pasti dan tindakan segera termasuk tindakan undang-undang sedang diambil.

“Hasil siasatan awal kami mendapati ini adalah insiden terpencil yang melibatkan tindakan tanpa kebenaran. Tiada sebarang petunjuk menunjukkan pelanggan lain turut terjejas. Semua akses kepada akaun pelanggan direkodkan dan dipantau sepenuhnya.

“Kami akan menghubungi pelanggan berkenaan mengenai perkara ini dan kekal komited dalam memastikan privasi serta perlindungan data peribadi pelanggan sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Khairul Aming, tampil menuntut penjelasan daripada Maxis susulan dakwaan maklumat bil telefon peribadinya didedahkan kepada pihak lain.

Menerusi hantaran di Threads, Khairul mempersoalkan bagaimana butiran akaun dan pelan telefon miliknya boleh diakses sebelum dikongsikan secara terbuka di media sosial.

“Mohon penjelasan daripada Maxis bagaimana bil telefon peribadi saya boleh bocor,” tulisnya.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial memuat naik maklumat berkaitan pelan telefon yang digunakan Khairul, selain mendakwa usahawan itu mempunyai tunggakan bil sebanyak RM498.

Bagaimanapun, Khairul menjelaskan dia sememangnya membuat bayaran lebih awal untuk beberapa bulan akan datang dan tidak menyedari baki kredit yang dimilikinya sudah semakin berkurangan.

Katanya, perkara yang lebih membimbangkan bukanlah isu baki bil tersebut, sebaliknya bagaimana maklumat sulit itu boleh diakses dan disebarkan kepada umum.

“Saya memang bayar bil lebih awal untuk beberapa bulan ke hadapan dan tidak sedar baki pembayaran sudah berkurangan.

“Tetapi yang menakutkan ialah bagaimana awak boleh tahu maklumat bil Maxis saya sehingga dikongsikan secara terbuka di media sosial? Ini data peribadi saya,” katanya.

Sehingga kini, Khairul masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut selepas Maxis memberikan maklum balas berhubung isu berkenaan.

Related Articles

Back to top button