FINAS Buka Kertas Siasatan Dakwaan Kru Produksi Kerja Lebih 12 Jam Sehari

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menegaskan tempoh bekerja bagi kru dan pelakon dalam sesebuah produksi tidak sepatutnya melebihi 12 jam sehari demi menjaga kebajikan serta keselamatan warga industri kreatif.
Menurut Azmir, FINAS memahami rungutan yang dibangkitkan segelintir kru produksi mengenai jadual kerja yang terlalu panjang sehingga menjejaskan waktu rehat, sekali gus mengakui isu itu perlu diberi perhatian serius.
Katanya, tempoh bekerja yang ideal ialah lapan jam sehari dengan tambahan dua jam bagi persediaan sebelum penggambaran dan dua jam lagi untuk proses penutupan set.
“Kita tahu tempoh kerja optimum ialah lapan jam sehari. Bagi produksi, kita membenarkan tambahan dua jam untuk persediaan dan dua jam lagi bagi penutupan set. Jadi, keseluruhannya, tempoh bekerja tidak sepatutnya melebihi 12 jam sehari.
“Kalau seseorang mula bekerja jam 6 petang, sebaik-baiknya penggambaran tamat kira-kira jam 2 atau 3 pagi supaya mereka ada enam hingga lapan jam untuk berehat sebelum kembali bekerja keesokan harinya,” katanya.
Azmir berkata demikian ketika mengulas dakwaan tular di Threads oleh seorang pekerja industri yang mendakwa kru produksi terpaksa bekerja melebihi 12 jam sehari tanpa menerima bayaran kerja lebih masa.
Mengulas lanjut, Azmir menjelaskan setiap kontrak pekerjaan perlu menyatakan dengan jelas kadar bayaran kerja lebih masa (OT) supaya hak pekerja sentiasa terpelihara.
“Disebabkan semua yang terbabit dalam sesebuah produksi mempunyai kontrak, bayaran kerja lebih masa perlu dinyatakan dengan jelas supaya pekerja mengetahui hak mereka,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Azmir berpandangan perancangan jadual yang lebih sistematik oleh pengurus projek dan pembantu pengarah (AD) mampu mengelakkan waktu bekerja yang terlalu panjang.
Katanya, pengurus projek perlu menyusun jadual penggambaran secara lebih efisien, manakala pembantu pengarah juga perlu berani menasihati pengarah sekiranya tempoh penggambaran menghampiri had maksimum yang ditetapkan.
“Saya sudah berbincang dengan beberapa syarikat produksi. Antara penyelesaiannya ialah menggunakan pengurus projek yang berpengalaman, selain pembantu pengarah perlu berani menasihati pengarah apabila tempoh penggambaran menghampiri had maksimum 12 jam. Jika perlu, sambung penggambaran pada keesokan hari,” ujarnya.
Sementara itu, Azmir memaklumkan FINAS telah membuka kertas siasatan berhubung aduan yang tular di media sosial kira-kira dua minggu lalu.
Menurutnya, pihaknya telah menghubungi individu yang membuat aduan dan sedang mendapatkan bukti serta maklumat sebelum sebarang tindakan diambil mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Jika ada aduan, kami akan ambil tindakan. Walaupun maklumat diperoleh daripada media sosial, kami tetap menjalankan siasatan.
“Dua minggu lalu, FINAS hubungi individu terbabit dan memulakan siasatan. Kami mempunyai SOP bagi menangani perkara seperti ini.
“Buat masa ini, saya tidak boleh berkongsi butiran kerana siasatan masih dibuat. Kami sedang mendapatkan bukti dan maklumat berkaitan,” kongsinya seperti dilapor Berita Harian.
Tambah Azmir, kedua-dua pihak iaitu pengadu dan syarikat produksi akan dipanggil bagi memberi penjelasan sebelum keputusan lanjut dibuat.
Azmir turut memaklumkan beberapa negara ASEAN seperti Filipina sudah menguatkuasakan had maksimum waktu bekerja dalam industri perfileman, manakala Indonesia sedang ke arah pelaksanaan dasar sama.
Katanya, Malaysia juga memiliki kontrak standard bagi industri kreatif, namun aspek penguatkuasaan masih diperhalusi agar kebajikan semua tenaga kerja produksi dapat dipertingkatkan.



