“Fitnah Ini Sudah Semakin Melampau”

Pelakon, Fattah Amin, 36, meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan seorang pengguna platform Threads yang didakwa berterusan menyebarkan pelbagai fitnah mengenai dirinya sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Fattah, pemilik akaun berkenaan sering mencetuskan provokasi dengan menyebarkan pelbagai dakwaan yang tidak berasas sehingga mencemarkan reputasinya.
“Sebenarnya saya tak nak kisah atas benda-benda remeh dan fitnah yang selama ini awak cipta.
“Tapi rasanya naratif yang digunakan, fitnah yang diada-adakan ini sudah semakin melampau,” tulisnya menerusi satu hantaran di Threads.
Aktor itu turut mendakwa antara fitnah yang dilemparkan melibatkan perkara berkaitan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya yang disifatkannya sebagai keterlaluan dan tidak sepatutnya berlaku.
Menurut Fattah, dia sebelum ini sudah mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), namun mendakwa sehingga kini masih belum menerima sebarang perkembangan berhubung tindakan terhadap akaun terbabit.
“Saya sudah lama laporkan akaun awak ini pada PDRM dan SKMM sebab sudah bertahun-tahun awak wujudkan fitnah ini.
“Tetapi, sampai sekarang masih tiada tindakan. Selebihnya yang lain-lain saya tak nak komen sebab anda semua boleh menilai bahasa dan kata-kata akaun ini.
“Jadi, mungkin sudah sampai masa kita gunakan butang ‘report’ ini beramai-ramai supaya akaun seperti ini tidak sepatutnya wujud di kalangan masyarakat kita,” katanya.
Dalam pada itu, Fattah turut menggesa orang ramai supaya bersama-sama melaporkan akaun berkenaan bagi mengelakkan penyebaran kandungan berunsur fitnah terus berleluasa di media sosial.
Katanya, kewujudan akaun seperti itu bukan sahaja mencetuskan kebencian, malah berpotensi memecahbelahkan keharmonian masyarakat yang selama ini terkenal dengan nilai budi bahasa dan saling menghormati.
Sebagai seorang Islam, Fattah mengingatkan bahawa perbuatan memfitnah adalah satu dosa besar yang dilarang dalam agama dan berharap masyarakat lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial.



