Warga Singapura Dedah Pengalaman Ngeri Didakwa Ditinggalkan Bas Bersama Pasport Masih Dalam Bagasi

Seorang warga Singapura tampil mendakwa sebuah syarikat bas Malaysia gagal memastikan semua penumpang berada di dalam bas ketika perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur.
Menerusi satu hantaran di Instagram, lelaki yang dikenali sebagai Ernz itu berkongsi kronologi kejadian yang didakwanya menyebabkan dia ditinggalkan oleh bas, pengalaman yang disifatkannya sebagai ‘billion trauma express’.
Menurut Ernz, dia membeli tiket perjalanan saat akhir ke Kuala Lumpur pada 19 Jun bersama sebuah syarikat mengendalikan bas express, yang pada asalnya dijadualkan bertolak pada 11 malam.
Namun, dia kemudiannya menerima panggilan daripada syarikat bas memaklumkan waktu pelepasan telah diawalkan kepada 10 malam, menyebabkan dia terpaksa bergegas ke lokasi menaiki bas dengan menaiki teksi.
Walaupun sudah tergesa-gesa ke lokasi, Ernz mendakwa bas itu tetap tidak muncul pada jam 10 malam.
Lebih mengejutkan, dia mendapati terdapat penumpang lain yang telah menunggu sejak jam 8 malam.
Kekecewaannya bertambah apabila menerima notifikasi penjejakan lokasi secara langsung yang menunjukkan bas tersebut masih berada di Johor Bahru.
Ernz turut berkata dia secara kebetulan bertemu seorang rakannya yang menaiki bas yang sama, sesuatu yang kemudian disifatkannya sebagai amat bernasib baik.
Selepas akhirnya berjaya menaiki bas, kenderaan itu berhenti sekitar jam 4.15 pagi untuk memberi peluang kepada penumpang menggunakan tandas ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Namun, sebaik sahaja kembali, Ernz mendakwa dia hanya sempat melihat bas tersebut terus memecut pergi dari kejauhan.
Dalam keadaan panik, dia segera menghantar mesej kepada rakannya supaya memaklumkan kepada pemandu bahawa dia telah ditinggalkan.
Menurut Ernz, rakannya membalas: “Saya dah beritahu mereka, tapi mereka tak peduli.”
Rakannya juga memaklumkan bahawa hentian tersebut mungkin sebenarnya bukan hentian rehat rasmi.
Akibat kejadian itu, Ernz mendakwa dia terpaksa bersendirian di kawasan hentian tanpa sebarang barangan peribadi mahupun pasport kerana semuanya masih berada di dalam bas.
Akhirnya, dia terpaksa membelanjakan hampir RM87 untuk perkhidmatan e-hailing bagi bertemu semula rakannya di destinasi akhir dan mendapatkan semula barang-barangnya.
Ernz turut mendakwa dia telah cuba menghubungi syarikat pengendali bas selepas kejadian tersebut, namun tidak menerima sebarang maklum balas.



