Lorenzo Batal Hasrat Naik Pelamin Umur 22, Fokus Kerjaya

Pelakon, Lorenzo Irmann, 22, mengakui pernah memasang impian untuk menamatkan zaman bujang bersama wanita yang pernah bertakhta di hatinya, namun perancangan tersebut tidak menjadi kenyataan apabila mereka sepakat mengakhiri hubungan.
Menurut pemilik nama penuhnya Lorenzo Irmann Farhan Caddeo Paolo, hubungan mereka ketika itu cukup serius sehingga kedua-dua belah pihak sudah berbincang mengenai perkahwinan.
Namun, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing demi memberi tumpuan kepada kerjaya.
“Memang pernah merancang untuk berkahwin. Bagi saya, merancang itu penting, tetapi bila tak jadi, saya buat keputusan untuk fokus pada kerja.
“Tak ada siapa tinggalkan siapa. Itu keputusan bersama. Kami sama-sama bersetuju untuk fokus pada kerja,” katanya.
Bercerita lanjut, aktor itu mengakui ketika menjalin hubungan, dia terlalu mengutamakan soal cinta sehingga terlupa untuk memikirkan perancangan masa depan dengan lebih matang.
Selepas membuat pertimbangan semula, Lorenzo merasakan usianya ketika itu masih terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami, apatah lagi kerjayanya dalam dunia lakonan baru sahaja bermula.
“Waktu itu kami terlalu bucin dan meletakkan cinta sebagai keutamaan. Tapi bila saya fikir balik tentang masa depan, saya rasa terlalu awal dan saya masih muda, baru umur 22.
“Nama saya pun baru nak naik. Masa itu saya baru habis belajar dan terus bekerja. Jadi saya rasa lebih baik fokus pada kerjaya dulu daripada terus berkahwin,” luahnya lagi.
Ditanya sama ada pengalaman tersebut membuatkan dirinya serik untuk kembali bercinta atau berkahwin, Lorenzo menegaskan dia tidak pernah berasa fobia terhadap hubungan.
Sebaliknya, buat masa ini dia memilih untuk memberi sepenuh perhatian terhadap kerjaya seni selain mengisi masa lapang dengan menjaga kecergasan diri.
“Tak ada fobia. Sekarang fokus kerja saja. Pernah mencari jodoh sebelum ini, tapi tak menjadi. Sekarang kalau ada masa, saya pergi gim dan beri tumpuan kepada kerja,” kongsi Lorenzo.



