Global

Wanita Jepun Didakwa Cium Jin BTS Gagal Hadir Ke Mahkamah, Perbicaraan Ditangguh

Perbicaraan pertama melibatkan seorang wanita warga Jepun yang didakwa mencium secara paksa anggota BTS, Jin, ketika satu acara bersama peminat ditangguhkan selepas tertuduh gagal hadir ke mahkamah.

Lebih dua tahun selepas insiden itu berlaku, pihak berkuasa akhirnya membawa kes tersebut ke mahkamah susulan siasatan yang dibantu Interpol serta kepulangan sukarela tertuduh ke Korea Selatan.

Bagaimanapun, prosiding terpaksa ditangguhkan sebaik sahaja ia bermula berikutan ketidakhadiran wanita berkenaan.

Pada 14 Julai, Hakim Mahkamah Daerah Timur Seoul, Lee Ji Min, dijadualkan mendengar kes terhadap wanita yang hanya dikenali sebagai Wanita A, yang berdepan pertuduhan melakukan gangguan seksual secara paksa.

Namun, perbicaraan tidak dapat diteruskan selepas tertuduh tidak hadir ke mahkamah.

“Tertuduh ada menghantar satu kenyataan bertulis melalui pos, namun tujuan surat tersebut masih tidak jelas,” kata mahkamah sebelum menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 16 Julai pukul 11 pagi.

Insiden itu berlaku pada Jun 2024 ketika acara sambutan tamat latihan ketenteraan Jin di Jamsil Indoor Stadium, Seoul.

Kira-kira 1,000 peminat menghadiri acara khas ‘hug event’, yang membolehkan setiap peminat memeluk Jin secara ringkas seorang demi seorang.

Rakaman video Jin dicium wanita tular sejak dua tahun yang lalu.

Menurut pihak pendakwaan, apabila tiba gilirannya, Wanita A didakwa memeluk leher Jin sebelum mencium pipinya tanpa persetujuan penyanyi itu.

Rakaman video kejadian tersebut pantas tular di media sosial dan memaparkan Jin yang kelihatan terkejut dengan tindakan wanita itu.

Insiden tersebut mengundang kecaman hebat daripada peminat, malah ramai menyifatkannya sebagai satu bentuk gangguan seksual.

Seorang peminat dari Korea Selatan kemudian membuat laporan jenayah menerusi sistem petisyen awam dalam talian negara itu, sekali gus mencetuskan siasatan polis.

Siasatan bagaimanapun tergendala selepas wanita berkenaan pulang ke Jepun sejurus selepas acara tersebut.

Walaupun polis Korea Selatan berjaya mengenal pasti identitinya dengan bantuan Interpol, mereka tidak dapat mengambil keterangannya kerana dia berada di luar negara, menyebabkan siasatan digantung sementara pada Mac 2025.

Kes itu disambung semula selepas Wanita A pulang secara sukarela ke Korea Selatan dan hadir memberikan keterangan kepada pihak polis.

Pendakwa raya kemudian mendakwanya di mahkamah tanpa penahanan pada November 2025.

Walaupun kes yang melibatkan warga asing lazimnya mengambil masa beberapa bulan sebelum perbicaraan pertama dapat dijalankan berikutan prosedur pemberitahuan antarabangsa.

Kes ini mendapat perhatian meluas daripada peminat K-Pop serta orang ramai kerana ia merupakan prosiding mahkamah pertama bagi insiden yang menjadi bualan sejak lebih dua tahun lalu.

Sumber: Allkpop

Related Articles

Back to top button