Viral

Bil Nasi Kandar Cecah RM83, Harga Seekor Udang RM50 Cetus Perdebatan

Memesan hidangan makanan laut di kedai nasi kandar sering dianggap sebagai peraturan tidak bertulis yang perlu dielakkan jika tidak mahu poket ‘rabak’ apabila tiba masa membayar.

Seorang lelaki di Kuala Lumpur bagaimanapun terkejut apabila mendapati dia dikenakan caj RM50 hanya untuk seekor udang goreng, sekali gus mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen sama ada harga itu munasabah.

Menerusi satu hantaran di Threads, lelaki tersebut berkongsi gambar hidangan nasi kandarnya bersama resit pembayaran yang diterima.

Berdasarkan resit itu, berikut ialah pecahan harga makanan yang dipesan:
Nasi briyani kosong – RM9
Ayam bawang – RM14
Telur masin – RM2
Kobis – RM3.50
Seekor Udang Goreng Tiger XL – RM50

Selepas dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 6 peratus, jumlah keseluruhan bil meningkat kepada RM83.20.

Lelaki itu meluahkan rasa terkejut dengan jumlah yang dikenakan sambil berseloroh bahawa dia tidak pernah menyangka seekor udang boleh bernilai sama seperti sekeping wang kertas RM50.

Dia turut mendakwa di ruangan komen bahawa gerai berkenaan tidak memaparkan harga makanan kepada pelanggan.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen, dengan ramai menyifatkan harga tersebut terlalu mahal.

Seorang netizen berkata RM50 lazimnya merupakan harga bagi sekilogram udang, bukannya untuk seekor sahaja.

Seorang lagi berseloroh kononnya pemilik gerai mengenakan harga tersebut kerana terlihat dompet lelaki itu dipenuhi wang kertas RM50, sebelum mencadangkan supaya dia membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, seorang lagi netizen mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada memesan makanan laut di kedai nasi kandar, kecuali jika benar-benar bersedia untuk berbelanja lebih pada hari tersebut.

Related Articles

Back to top button