Berita

Fizan Bittersweet Terjatuh Ketika Beraksi, Cedera Di Muka

Vokalis kumpulan Bittersweet, Fizan membuktikan semangat profesionalismenya apabila tetap meneruskan persembahan meskipun terjatuh dari pentas ketika menjayakan Konsert Indiescovery 2026 di Zepp Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Insiden mencemaskan itu berlaku ketika Bittersweet sedang menyampaikan lagu medley Come On dan Simone, iaitu lagu kedua dalam persembahan mereka.

Ketika sedang rancak menyanyi dan berinteraksi dengan penonton, Fizan secara tiba-tiba dipercayai hilang imbangan sebelum terjatuh ke bahagian bawah pentas, sekali gus membuatkan suasana di dalam dewan bertukar cemas.

Bagaimanapun, detik itu tidak mematahkan semangat penyanyi berkenaan apabila dia segera bangun dan memanjat semula ke atas pentas untuk meneruskan persembahan.

“Alhamdulillah semuanya selamat. Hidung rasa macam senget, tapi semuanya baik. Saya baik-baik saja, jangan risau.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua yang hadir malam ini. Terima kasih. Terima kasih RR Entertainment, terima kasih MyCreative Ventures. Kita teruskan,” katanya sebelum menyambung persembahan menerusi lagu Control.

Kecekalan Fizan yang enggan menghampakan peminat walaupun dalam keadaan menahan kesakitan nyata mengundang sorakan gemuruh daripada penonton yang memberikan sokongan padu kepadanya.

Difahamkan, insiden tersebut menyebabkan Fizan mengalami kecederaan pada bahagian muka, termasuk luka berhampiran mata serta pendarahan pada gigi.

Selepas konsert berakhir, Fizan berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaannya menerusi Instagram Story, selain mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengambil berat.

“Maaf tak dapat nak balas semua. Secara ringkasnya, ada tiga sentimeter ‘cut’ bawah antara kening dan mata, hidung senget saya ‘snap’ balik bagi lurus sebelum naik pentas semula.

“Jadi sekarang sebelah hidung macam ‘carburator’ tersumbat, ‘minor concussion’, muka bengkak sebelah.

“Esok CT scan, keputusan saya beritahu. Doakan tiada apa-apa serius. Saya rehat dulu. Terima kasih semua yang ambil berat,” tulisnya.

Sejurus menerima rawatan awal di belakang pentas, Fizan kemudian dilihat dibawa menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

Selain Bittersweet, Konsert Indiescovery 2026 turut menampilkan persembahan daripada tiga lagi kumpulan popular iaitu Butterfingers, Bunkface dan Masdo.

Related Articles

Back to top button