Amy Mastura Tinggalkan Seketika Dunia Nyanyian, Mahu Dalami Agama

Penyanyi dan pelakon, Amy Mastura, 55, mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia nyanyian bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mendalami ilmu agama serta memperbaiki diri.
Pemilil nama sebenar Amy Mastura Suhaimi, berkata, keputusan itu dibuat dengan penuh pertimbangan dan bukan secara terburu-buru kerana dia mahu mengumpul sebanyak mungkin ilmu sebelum menentukan hala tuju kerjayanya pada masa akan datang.
“Dari segi nyanyian, saya bercuti buat masa ini. Saya nekad mahu belajar mengenai agama, mengumpulkan ilmu diperlukan dan selepas itu barulah saya lihat ke mana hala tuju saya.
“Memang ada rasa nak menyanyi lagi tetapi kerana Allah, saya ambil keputusan untuk ‘bercuti’ dulu, walaupun kawan-kawan semua buat konsert tapi saya dah berniat mencari ilmu agama.
“Mungkin kawan-kawan lain dah cukup ilmu, saya belum lagi jadi kenalah cari ilmu. Selama ini saya datang daripada latar belakang industri hiburan dan sentiasa menyanyi. Jadi sekarang masanya mendalami ilmu agama,” katanya.
Mengulas lanjut, Amy mengakui persoalan mengenai hukum suara wanita turut menjadi antara perkara yang bermain di fikirannya sehingga mendorongnya untuk mengambil keputusan berehat daripada bidang nyanyian.
Bagaimanapun, Amy memilih untuk tidak menghuraikan perkara itu dengan lebih mendalam kerana masih dalam proses menimba ilmu agama dan tidak mahu kenyataannya disalah tafsir.
“Kalau nak kata suara itu aurat, lebih kurang begitulah sebabnya saya mengambil keputusan untuk tidak menyanyi buat masa ini. Bercuti menyanyi sahaja, berlakon tidak.
“Tetapi saya tidak berani mengulas lebih lanjut kerana bimbang disalah tafsir. Berilah peluang kepada saya untuk belajar sedikit demi sedikit,” ujarnya.
Dalam tempoh berehat itu, Amy mendedahkan dia telah menolak beberapa tawaran persembahan termasuk konsert demi berpegang kepada keputusan yang telah dibuat.
“Ada persembahan di majlis-majlis yang saya tolak, termasuk konsert. Saya menolaknya dengan cara baik dan berharap mereka memahami keputusan saya.
“Kepada peminat yang merindui saya, bolehlah terus mendengar lagu-lagu saya di Spotify. Saya masih ada, tidak ke mana. Kalau rindu, kita masih boleh berjumpa dalam majlis atau pertemuan bersama kelab peminat,” katanya.



