Viral

Sudah 10 Tahun Vince Hidup Dengan Bipolar

Penyanyi dan juara Akademi Fantasia musim pertama (AF1), Vince Chong, 49, mendedahkan dirinya disahkan menghidap gangguan bipolar tahap 2 sejak kira-kira sedekad lalu.

Vincs berkata, dia hanya menyedari keadaan tersebut selepas kakaknya menonton sebuah dokumentari mengenai penyanyi antarabangsa, Britney Spears, yang membincangkan mengenai gangguan bipolar.

Menurutnya, ahli keluarganya mula menyedari terdapat persamaan pada simptom yang dipaparkan dalam dokumentari itu dengan perubahan emosi yang sering dialaminya sebelum mencadangkan dia mendapatkan pemeriksaan daripada pakar psikiatri.

“Ini perkara yang sangat peribadi. Saya tak pernah kongsikan dengan sesiapa pun. Pada 2015, kakak saya menonton program mengenai bipolar dan dia kata, ‘Eh, macam Vincent’.

“Selepas berbincang, mereka mencadangkan saya berjumpa pakar. Apabila diperiksa, doktor mengesahkan saya menghidap bipolar jenis 2,” katanya menerusi audio siar Kita Kita Aje.

Mengimbas kembali fasa awal pembabitannya dalam dunia seni, Vince mengakui gangguan tersebut menyebabkan emosinya berubah secara mendadak sehingga memberi kesan kepada kerjaya dan kehidupan seharian.

Katanya, ada ketika dia terlalu bersemangat, namun tidak lama kemudian bertukar menjadi murung sehingga berbulan-bulan lamanya, selain hilang keyakinan diri dan mengasingkan diri daripada orang sekeliling.

“Bila saya ‘down’, saya boleh berbulan-bulan rasa diri tak cukup bagus. Saya tak mahu pergi persembahan, enggan jumpa orang dan hanya duduk dalam bilik.

“Pihak Astro pun ada banyak kali telefon ajak buat program, saya beri alasan tak lapang sebab saya tak selesa berdepan orang,” ujarnya.

Vince berkata, pada mulanya dia sukar menerima diagnosis yang diberikan, namun akhirnya akur dan memilih menjalani rawatan termasuk mengambil ubat bagi membantu menstabilkan emosinya.

“Saya sedar perkara pertama untuk mendapatkan bantuan ialah mengaku kita ada masalah. Kalau kita rasa tiada masalah, itulah masalahnya.

“Ubat membantu mengimbangkan cara saya berfikir. Kalau sedih pun, ada sebabnya, bukan sedih berpanjangan tanpa motivasi untuk bangkit semula,” luahnya lagi.

Dalam masa sama, Vince mengakui pengalaman dibuli, kurang keyakinan diri serta tabiat membandingkan pencapaian sendiri dengan kejayaan orang lain antara faktor yang mencetuskan episod kemurungan sehingga membuatkan dirinya berasa tidak berguna.

Sehubungan itu, dia berharap masyarakat lebih peka terhadap gangguan bipolar dan tidak memandang ringan simptom yang dialami kerana rawatan awal mampu membantu pesakit menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Kalau dibiarkan, keadaan boleh jadi lebih serius. Sebelum terlambat, carilah bantuan profesional. Jangan cari jalan yang salah kerana ia hanya akan memburukkan keadaan,” katanya.

Related Articles

Back to top button