“Dia Lewat Bukan Sekali Dua, Hampir Setiap Hari”

Pelakon, Fasha Sandha, 42, meluahkan rasa kecewa terhadap sikap seorang pelakon yang didakwa sering hadir lewat ke lokasi penggambaran sehingga menjejaskan kelancaran jadual kerja serta operasi produksi.
Bagaimanapun, Fasha memilih untuk tidak mendedahkan identiti individu terbabit. Sebaliknya, berharap teguran yang dimuat naik menerusi status WhatsApp miliknya dapat dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada pelakon berkenaan, malah kepada orang lain.
“Saya tak mahu sebut siapa orangnya. Saya fikir dia tahu siapa dirinya. Dia lewat bukan sekali dua, tetapi hampir setiap hari. Jadi, saya harap dia jadikan perkara itu sebagai pengajaran.
“Saya harap mereka yang membaca status itu juga dapat mengambil iktibar supaya tidak mengulangi perkara sama. Kelewatannya bukan sehari, tetapi hampir setiap hari dan sampai berjam-jam.
“Saya harap selepas ini dia lebih peka menjaga masa dan menghormati orang lain,” katanya.
Menurut Fasha, isu kelewatan itu bukan perkara baharu kerana pelakon terbabit dikatakan sudah beberapa kali menerima teguran daripada pihak produksi. Namun, masalah tersebut didakwa masih berulang sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan kru serta rakan-rakan di lokasi.
“Ada orang lain yang sudah tegur dia bagi pihak produksi. Bagi saya, disiplin dan komitmen adalah perkara nombor satu yang perlu diutamakan.
“Apabila kita menjaga disiplin dan komitmen, tiada siapa boleh menjatuhkan kita. Itu sahaja,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Fasha mengakui pendekatannya dalam menangani situasi seperti itu kini lebih matang berbanding suatu ketika dahulu. Jika sebelum ini dia cenderung meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial, kini dia memilih untuk menyuarakan teguran secara lebih berhemah.
“Kalau dahulu, saya akan tulis di media sosial. Kali ini, saya hanya meluahkan teguran itu di WhatsApp sahaja,” katanya.
Fasha percaya disiplin serta komitmen merupakan faktor utama yang membolehkannya terus bertahan dan kekal relevan sehingga hari ini.
“Saya masih berada dalam industri ini kerana disiplin dan komitmen yang saya pegang sebagai prinsip hidup sejak dahulu hingga sekarang, Alhamdulillah.
“Teguran itu dibuat supaya pelakon berkenaan menjadi lebih baik. Dahulu, pada zaman Twitter, mungkin saya akan muat naik di Twitter.
“Tapi sekarang saya lebih tenang. Saya tegur dalam WhatsApp sahaja. Harap-harap dia jadikan ia sebagai pengajaran,” ujarnya.



