Wanita Separuh Berbogel Pegang Pasport Di KLCC Undang Perhatian Ramai

Orang ramai termasuk pejalan kaki dan pemandu di Kuala Lumpur dikejutkan dengan kehadiran seorang wanita berpakaian separuh bogel yang memegang sebuah pasport di atas kepalanya berhampiran pusat beli-belah KLCC pada 16 Julai lalu.
Pengguna Threads, Azeeli Ramli, berkongsi pengalamannya menyaksikan seorang wanita yang hanya memakai coli, seluar panjang dan stokin berdiri di persimpangan Jalan Ampang dan Jalan P. Ramlee sekitar jam 6 petang.
Wanita itu dilihat berdiri di kaki lima sambil mengangkat sebuah pasport yang dipercayai milik Republik Rakyat China di atas kepalanya dengan sebelah tangan.
Di tangan sebelah lagi pula, dia memegang sehelai baju, beg tangan serta telefon bimbit.
Menurut Azeeli, dia turut melihat kesan lebam pada pipi dan lengan kiri wanita berkenaan.
Katanya, beberapa pelancong dari China cuba bertanya kepadanya mengenai apa yang sedang berlaku, namun wanita itu hanya berdiam diri tanpa memberikan sebarang jawapan.
Kira-kira 15 minit kemudian, polis tiba di lokasi dan cuba memujuk wanita itu supaya memakai semula bajunya, namun menurut Azeeli, wanita tersebut masih enggan memberikan kerjasama.
Sebaliknya, wanita itu meminta untuk bercakap dengan pegawai dari Kedutaan China.
Bagaimanapun, polis dilaporkan berhati-hati untuk menyentuh wanita berkenaan kerana ketika itu tiada anggota polis wanita di lokasi.
Seorang pengguna Xiaohongshu turut berkongsi beberapa gambar kejadian yang menunjukkan wanita itu kelihatan tenang walaupun beberapa anggota polis berada beberapa meter daripadanya, sementara orang ramai berkumpul melihat situasi tersebut.
Gambar yang sama turut menunjukkan wanita itu duduk di pembahagi jalan ketika hujan, namun tidak dapat dipastikan bila ia berlaku.
Azeeli berkata, dalam tempoh sejam berikutnya, wanita itu berjalan dari KLCC ke pusat beli-belah Avenue K sebelum kembali semula ke KLCC.
Menurutnya, polis masih gagal mengetahui tujuan sebenar wanita itu, namun berjaya memujuknya memakai kasut.
Menjelang jam 8 malam, wanita itu berada semula di kawasan KLCC dan mula berbual dengan anggota polis. Bagaimanapun, Azeeli tidak mengetahui isi perbualan mereka selain melihat wanita itu memberi isyarat tangan seolah-olah meminta minuman.
Pada jam 8.15 malam, dua anggota polis wanita tiba di lokasi. Namun, polis masih mengambil masa kira-kira 30 minit lagi untuk membawanya masuk ke dalam kereta peronda selepas wanita itu cuba melarikan diri.
Insiden tersebut kini tular di media sosial dengan ramai pengguna mencadangkan supaya wanita berkenaan dihantar pulang ke negara asal.
Namun begitu, beberapa saksi di Threads, Reddit dan Xiaohongshu berpendapat wanita itu mungkin sedang mengalami tekanan atau gangguan mental, selain berharap dia menerima bantuan yang sewajarnya.
WeirdKaya melaporkan bahawa sehingga 18 Julai, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan keadaan sebenar yang menyebabkan insiden itu berlaku juga masih belum dapat dipastikan.



