Teruja Pertama Kali Makan Hati & Paru Unta

PENYANYI dan pelakon, Izzue Islam, 35, meluahkan rasa teruja apabila dapat menikmati juadah berbuka puasa berasaskan unta ketika mengerjakan ibadah umrah bersama isteri, Awin Nurin, baru-baru ini.

Selain menikmati hidangan itu buat pertama kali, pemilik nama lengkap Muhammad Izzul Islam Mazlan juga berkesempatan melakukan solat tarawih dan bersahur di Madinah walaupun hanya sehari.

“Memang satu pengalaman yang saya tidak dapat lupakan apabila pertama kali makan hati, paru dan daging unta. Satu nikmat baru yang saya dapat rasai.

“Saya juga bersyukur dapat berpuasa di sana walaupun hanya sehari sahaja. Penerbangan pulang saya ke Malaysia adalah pada 2 Mac, di Madinah berpuasa 1 Mac.

“Saya juga dapat solat terawih dan bersahur di sana,” tutur ahli anggota kumpulan Forteen itu mengimbau kembali pengalaman tersebut.

Berkongsi mengenai pengalaman mengerjakan umrah, Izzue bersyukur segala urusan dipermudahkan.

“Alhamdulillah, sangat seronok dan satu pengalaman yang tidak akan dilupakan. Hasrat untuk ke berpuasa di sana juga sudah tercapai.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki memang ingin kembali ke sana lagi, Makkah dan Madinah adalah satu tempat yang sangat indah,” tambahnya.

Related post

Leave a Reply