Rumah Hangus Dijilat Api Pada 2 Syawal, Charlie Nu’Man Terima Kunjungan Ziarah Seni Madani

Sambutan Aidilfitri yang sepatutnya diraikan dengan meriah bertukar duka buat pelakon Charlie Nu’man, 71, apabila kediamannya di Gombak, Selangor hangus dijilat api.

Menceritakan kejadian yang berlaku pada 2 Syawal itu, pemilik nama sebenar Nu’man Mohd Salleh berkata, dia menyedari bahagian belakang rumahnya dan beberapa kediaman milik jiran sudah terbakar.

Jelasnya, punca kebakaran disebabkan terdapat bahan mudah terbakar yang disimpan di stor milik jiran.

“Rumah saya terbakar pada hari raya kedua. Saya mahu ke dapur dalam pukul 11 pagi nampak ada api di belakang rumah yang bermula daripada rumah jiran bahagian hujung.

“Saya orang pertama yang cuba padamkan api dengan simbah air dan menjerit minta bantuan sebelum orang ramai datang dan tolong bantu padamkan api. Selepas beberapa jam, dalam sekitar pukul 2 petang api dah terpadam dengan bantuan pasukan penyelamat Bomba.

“Rumah dan beberapa barang dalam rumah tidak sempat nak diselamatkan kecuali dokumen penting macam surat beranak. Punca kebakaran kata Bomba ada barang mudah terbakar disimpan dalam stor rumah jiran,” katanya.

Charlie berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis Ziarah Seni Madani Finas di Dewan Persatuan Kebajikan Gombak Setia, Selangor pada Khamis.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac dan Ahli Perbadanan FINAS merangkap Presiden Seniman, Kolonel Bersekutu (PA) Zed Zaidi.

Pada ketika ini, Charlie bersama enam anaknya dan beberapa mangsa lain ditempatkan di Dewan Persatuan Kebajikan Gombak Setia, Selangor.

Dalam pada itu, Charlie meluahkan rasa syukur apabila nasibnya mendapat perhatian Finas, Seniman Malaysia dan Lembaga Zakat yang menghulurkan sumbangan.

“Jumlah kerugian adalah dalam puluhan ribu ringgit. Alhamdulillah, syukur Persatuan Seniman, Finas dan Lembaga Zakat beri bantuan dan sumbangan.

“Finas dan Seniman juga kata mahu bantu carikan rumah untuk saya dan anak-anak. Rumah sekarang sewa bukan murah,” tambahnya lagi.

Related post

Leave a Reply