Bukan Batuk Biasa, Diagnosis Tibi Sebelum Terlewat

TIBI atau tuberkulosis merupakan penyakit batuk kering berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Sejak sekian lama, penyakit ini menjadi ancaman global termasuk di negara kita.

Melanjutkan diskusi mengenai penyakit berkenaan, Doktor Perubatan Am Poliklinik Penawar Johor Bahru, Dr Zubaidi Ahmad berkata, tibi ialah penyakit bawaan udara yang boleh merebak melalui titisan kecil yang dilepaskan ke udara apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin atau meludah.

Titisan tersebut mengandungi bakteria tibi yang boleh dihidu oleh individu lain dan seterusnya menjangkiti paru-paru mereka.

Walaupun paru-paru ialah organ utama yang dijangkiti, kuman ini juga boleh merebak ke organ lain seperti otak, tulang belakang, sendi, dan buah pinggang.

Tibi boleh menunjukkan pelbagai gejala bergantung kepada tahap jangkitannya. Antara tanda-tanda utama termasuklah Batuk berterusan lebih dua minggu, batuk berkahak yang kadangkala berdarah, hilang selera makan dan susut berat badan, demam, sukar bernafas (dispnea), berpeluh pada waktu malam, sakit dada dan suara serak.

Jika simptom yang disebutkan ada pada seseorang individu, mereka dinasihatkan untuk segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan diagnosis tibi dapat dibuat seawal mungkin.

“Diagnosis akan dibuat berdasarkan simptom pesakit, pemeriksaan fizikal dan penyiasatan lanjut pihak perubatan,” katanya dipetik Sinar Harian.

Dalam masa sama, Dr. Zubaidi juga memberitahu yang penyakit tersebut boleh menjangkiti sesiapa sahaja, namun terdapat golongan yang lebih mudah terdedah kepadanya.

Individu yang mempunyai sistem imun yang lemah lebih berisiko, termasuk mereka yang menghidap HIV atau AIDS, diabetes, serta individu yang pernah dijangkiti bakteria tibi sebelum ini.

Sistem imun yang lemah menyebabkan badan tidak mampu melawan jangkitan dengan berkesan.

Related post

Leave a Reply