Perkasa Industri Kreatif, Seniman Sambut Baik Belanjawan 2026

Perkasa Industri Kreatif, Seniman Sambut Baik Belanjawan 2026

Persatuan Seniman Malaysia menyambut baik peruntukan berjumlah RM140 juta untuk industri kreatif seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim sempena Belanjawan 2026 yang dibentangkan hari ini.

Menurut Presiden Seniman, Zed Zaidi, peruntukan yang diberikan merupakan bukti keprihatinan kerajaan dalam membangunkan industri agar lebih berdaya saing dan berkembang pesat.

“Kita menyambut baik apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri yang tidak meminggirkan industri kreatif. Dengan peruntukan yang diberikan, lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan selain menghasilkan sebuah industri yang mapan.

“Dengan memberikan berapa penekanan terhadap animasi dan digital, ia pastinya mampu menarik lebih ramai belia untuk sama-sama membangunkan industri kreatif dengan insentif yang bakal dilaksanakan.

“Seniman yakin, dengan peruntukan yang disebutkan mampu memberikan kelegaan kepada pemain industri termasuk sektor konsert, kandungan kenegaraan, kru belakang tabir dan semua pihak terlibat,” jelasnya.

Menerusi peruntukan RM140 juta tersebut, sebanyak RM110 juta merupakan insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa selain RM10 juta diberikan khusus kepada penerbitan kandungan kenegaraan.

Untuk penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa pula, sebanyak RM10 juta diberikan untuk menarik pelancong asing ke Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Kerajaan turut menyediakan RM20 juta untuk menyokong ekosistem Kreatif Digital khususnya penggiat kreatif animasi dan permainan digital tempatan.

Tambah Zed, apa yang diumumkan mampu menarik minat anak muda terutamanya kepada pengguna AI selain merangsang minat untuk meneroka industri kreatif.

“Bidang animasi dan beberapa teknologi terkini akan mampu menarik lebih ramai anak muda untuk terus menghasilkan naskhah bermutu tinggi pada masa hadapan.

“Kita mahu mereka mencipta legasi dan sejarah baharu kepada industri seterusnya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia,” tambahnya.

Dalam pada itu, Zed juga berharap kerajaan memberikan peruntukan terhadap badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar seperti Persatuan Seniman dan Persatuan Karyawan.

“Saya berharap akan ada peruntukan untuk kebajikan kepada NGO yang memperjuangkan industri seperti Seniman dan Karyawan seperti yang diperoleh pada tahun sebelum.

“Kita memang menantikan peruntukan sebegini bagi merangsang ekonomi industri kreatif. Samoga pada masa hadapan peruntukan sebegini akan diteruskan demi kebajikan semua,” katanya.

Related post

Leave a Reply