Jho Low Mohon Pengampunan Trump

Ahli perniagaan individu buruan antarabangsa, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dilaporkan telah memohon pengampunan daripada presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Jho Low sebelum ini didakwa menjadi dalang utama di sebalik skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan penyelewengan dana sebanyak 4.5 bilion dolar AS (RM17.68 bilion).
Menurut sumber, permohonan pengampunan tersebut difailkan dalam beberapa minggu lalu, lapor The Wall Street Journal.
Sekiranya diluluskan, pengampunan itu akan membersihkan lelaki berusia 44 tahun tersebut daripada pertuduhan jenayah di AS.
Usaha Jho Low untuk membersihkan namanya daripada pertuduhan jenayah serta buruan antarabangsa dilaporkan telah berjalan lebih setahun.
Dalam permohonannya, Jho Low dikatakan memberitahu pihak berkuasa AS yang dia mampu membantu merealisasikan beberapa perjanjian.
Dia turut didakwa mengambil kredit terhadap satu perjanjian baru-baru ini yang menyaksikan Malaysia memulangkan seorang lelaki Bangladesh ke AS yang dikatakan mengendalikan rangkaian eksploitasi seksual kanak-kanak.
Namun, beberapa sumber mendakwa Jho Low sebenarnya tidak terlibat dalam proses pemindahan tersebut.
Selain itu, Jho Low juga dilaporkan sedang berbincang dengan pihak berkuasa AS dan Malaysia mengenai pemulangan dana yang dikaitkan dengan penipuan 1MDB.
Dana berkenaan kemudiannya akan diserahkan kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk menentukan jumlah agihan kepada negara-negara yang terkesan, termasuk Malaysia.
Laman web Jabatan Kehakiman Amerika turut menyenaraikan satu permohonan pengampunan yang masih tertangguh atas nama Jho Low pada tahun 2026.
Bagaimanapun, peluang untuk pengampunan itu diluluskan bergantung sepenuhnya kepada Trump serta pasukan penasihat undang-undangnya.
Pegawai Rumah Putih juga mendakwa permohonan Jho Low ketika ini belum berada dalam perhatian utama mereka.
Pada 13 Mei, pengerusi pasukan petugas 1MDB, Johari Abdul Ghani berkata, Jho Low tidak sepatutnya diberikan pengampunan.
Menurut laporan Reuters, Johari menegaskan AS sepatutnya membantu Malaysia mengesan Jho Low bagi tujuan siasatan.
Johari turut memaklumkan dia tidak mengetahui sebarang rundingan antara Jho Low dan pihak berkuasa Malaysia berkaitan pemulangan dana.
Jho Low didakwa pada tahun 2018 atas tuduhan menyeleweng sekurang-kurangnya 4.5 bilion AS (RM17.68 bilion) daripada 1MDB.
Pada Oktober 2029, beliau turut melepaskan pelbagai aset bernilai kira-kira 700 juta dolar AS (RM2.7 bilion) termasuk hartanah mewah di Beverly Hills, New York dan London, aset di Switzerland dan United Kingdom serta pelbagai pelaburan perniagaan lain. Kapal layar mewahnya yang bernilai 250 juta dolar AS (RM982 juta) turut disita pihak berkuasa.
Namun, perjanjian tersebut serta satu lagi perjanjian serupa pada tahun 2024 tidak membebaskannya daripada liabiliti jenayah.
Malaysia juga pernah menggantung sementara notis merah Interpol terhadap Jho Low bagi memudahkan pemulangan aset penting ke negara ini.
Keberadaan Jho Low ketika ini masih tidak diketahui, namun pihak berkuasa percaya dia berada di China.
Bagaimanapun, pegawai China menafikan dakwaan tersebut.



