Ini Kenderaan Digunakan Sepanjang Lawatan Presiden China Di Malaysia

Umum mengetahui bahawa hari ini, Kerajaan Malaysia menyambut kunjungan Presiden China, Xi Jinping yang mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari di sini.

Sempena dengan lawatan ketua negara China itu, sebanyak 17 laluan utama di Lembah Klang dan Putrajaya ditutup dan ada juga yang dilencongkan.

Tidak hanya itu, kenderaan rasmi yang menyambut kedatangan Xi Jinping juga didakwa telah mula kelihatan.

Untuk pengetahuan, kenderaan rasmi Presiden China ini bukan kenderaan biasa. Ia merupakan kereta mewah berperisai tinggi buatan China, Hongqi N701 yang turut menjadi perhatian dunia.

Hongqi, yang bermaksud Bendera Merah merupakan jenama kereta mewah di bawah syarikat FAW Car Co, iaitu pengeluar kereta tertua di China sejak 1959. Ia juga membawa simbol kuasa.

Difahamkan, Hongqi berfungsi sebagai pembuat kenderaan khas untuk pegawai tertinggi kerajaan China.

Kereta rasmi ini berukuran 18 kaki panjang, seberat sekurang-kurangnya 3.1 tan dan dikuasakan oleh enjin V12 turbocharged bersesaran enam liter dengan kuasa 408 kuasa kuda.

Meskipun besar dan berat, ia mampu mencapai kelajuan maksimum sekurang-kurangnya 136 batu sejam (lebih 218 km/j).

Hongqi N701 memiliki ciri keselamatan yang luar biasa, dilengkapi dengan plat perisai tahan roket, tayar getah 21 inci kalis peluru, tingkap kaca tebal kalis peluru serta sistem perlindungan daripada senjata kimia dan biologi.

Kebanyakan spesifikasinya dirahsiakan atas faktor keselamatan negara, namun sudah cukup diketahui bahawa ia direka khas untuk melindungi pemimpin tertinggi China daripada sebarang ancaman.

Untuk info, kereta L5 yang menjadi asas kepada N701 pernah dinobatkan sebagai kereta buatan China paling mahal dengan harga sekitar USD700,000 (anggaran RM3.3 juta).

Sempena lawatan hari ini, Xi Jinping akan disambut dengan istiadat sambutan negara dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Sumber: Lobak Merah

Related post

Leave a Reply