Berita

Peminat Jay Chou Diberi ‘Konsert Terakhir’, Undang Sebak Keluarga & Rakan

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan mengenai satu kemalangan jalan raya di Melaka yang meragut nyawa tiga pemuda selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori.

Salah seorang mangsa, Peng Zhicheng, merupakan peminat tegar penyanyi Taiwan, Jay Chou. Keluarganya memilih untuk mengiringi pemergiannya dengan memainkan dan menyanyikan beberapa lagu artis tersebut ketika majlis penghormatan terakhir dan upacara pengebumian.

Seorang wartawan dari China Press yang menghadiri upacara pengebumiannya semalam menyaksikan ahli keluarga dan rakan-rakan Peng menyanyikan lagu-lagu popular Jay Chou seperti Clear Day, Common Jasmine Orange dan I Find It Hard To Say.

Namun, kesedihan kehilangan Peng amat dirasai apabila ada yang tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika menyanyi di sisi kerandanya.

Selepas ‘konsert’ tersebut berakhir, abang Peng melepaskan belon hitam ke udara, diikuti oleh yang lain yang turut melepaskan belon berwarna biru dan putih serta riben bagi menghidupkan suasana seperti sebuah konsert yang tidak sempat dihadiri oleh Peng ketika hayatnya.

Datuk kepada Peng turut berdiri di sisi keranda dan memainkan lagu-lagu yang sama menggunakan harmonika buat kali terakhir sebelum mayat dibakar.

Kredit foto China Press.

Bercakap kepada China Press, abang Peng berkata, dia dan adiknya merupakan peminat Jay Chou, dan dia sendiri memilih lagu-lagu tersebut agar adiknya dapat ‘menyanyi bersama’ buat kali terakhir sebelum pergi ke alam seterusnya.

“Adik saya meminati Jay Chou sejak kecil dan sentiasa berusaha mendapatkan tempat duduk barisan hadapan di konsertnya serta sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk barangan rasmi.

“Bagi dirinya, lagu-lagu Jay Chou adalah peneman yang membantu mengharungi tekanan hidup dan kerja,” katanya.

Abang Peng turut berkongsi bahawa impian terbesar mangsa adalah untuk mendapatkan tandatangan Jay Chou serta diakui secara peribadi ketika konsert. Namun hasrat itu tidak kesampaian.

Abang Peng menambah, Peng pernah menyebut yang jika Jay Chou mengadakan konsert di Singapura atau Malaysia pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan, mereka akan pergi bersama.

“Pada masa akan datang, saya tetap akan membawa poster besar dengan wajah adik saya ke konsert, dengan harapan dapat membuat permintaan lagu bagi pihaknya,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button