‘Penubuhan IKN cetusan idea Pak Lah selepas kematian isterinya akibat kanser’
Penubuhan Institut Kanser Negara (IKN) adalah antara jasa Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam usaha menyediakan rawatan khusus bagi penyakit itu.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata satu tapak dikenal pasti dan diluluskan pembangunan institut itu di bawah naungan Abdullah yang kehilangan isteri, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood akibat kanser payudara pada 2005.
“Satu tapak berkeluasan 0.431 hektar yang terletak di Presint 7, Putrajaya dikenal pasti sebagai lokasi strategik IKN kerana terletak bersebelahan Hospital Putrajaya dan Putrajaya Sentral.
“Ketika itu, saya diberikan tanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan IKN demi manfaat orang ramai.
“Allahyarham banyak berjasa dalam pembangunan modal insan di Kementerian Kesihatan (KKM) dan memberi bantuan kepada pesakit kanser,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di Facebook, hari ini.
Allahyarham Abdullah yang mesra dipanggil Pak Lah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pada jam 7.10 malam tadi dan berita itu dikongsikan menantunya, Khairy Jamaluddin menerusi Instagram Story.
Allahyarham yang berusia 85 tahun dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara dari jam 11 pagi hingga 1 tengah hari ini sebelum jenazah dibawa ke Makam Pahlawan untuk dikebumikan.
Dr Noor Hisham berkata, IKN adalah institusi perubatan kanser yang dibina khas untuk memberikan kemudahan khusus dalam rawatan dan perubatan bagi pesakit kanser di negara ini.
“Penubuhan IKN bertujuan menangani segala keperluan yang semakin meningkat berkaitan isu kanser dalam negara,” katanya. – BH ONLINE