Berita

Ayu Damit Masuk Hospital, Sakit Dada & Muntah Tanpa Henti

Penyanyi, Ayu Damit, 37, dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di ibu kota sekitar jam 3 pagi Jumaat selepas mengalami sakit dada dan muntah berpanjangan.

Menurut pemilik nama sebenarnya Norayu Damit, keadaan kesihatannya mula merosot sejak awal pagi sehari sebelumnya.

“Sejak awal pagi semalam, saya mula berasa sakit dada dan kerap muntah,” katanya.

Tambahnya, walaupun sudah mendapatkan rawatan di klinik, keadaan masih tidak menunjukkan perubahan.

“Selepas ambil ubat di klinik pun keadaan masih sama. Sebab itu saya terus minta suami hantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujar Ayu lagi.

Mengulas punca, Ayu tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada jadual kerjanya yang padat selain kurang rehat.

“Saya akui memang sibuk dengan kerja minggu ini. Saya pula jenis susah nak makan, ditambah pula waktu makan dan tidur yang tidak teratur,” katanya lagi.

Berkongsi perkembangan terkini, Ayu memaklumkan dia masih menunggu pemeriksaan lanjut daripada pihak hospital.

“Doktor akan lakukan CT scan untuk tahu punca sebenar. Kita tunggu saja apa keputusan nanti,” jelasnya.

Dalam masa sama, penyanyi itu turut memohon doa daripada para peminat agar kesihatannya kembali pulih.

“Saya mohon doa semua supaya saya cepat sembuh dan boleh kembali bekerja seperti biasa. Setakat ini, saya tidak ada sebarang penyakit,” katanya.

Ayu bagaimanapun bersyukur apabila satu acara persembahan di Johor yang dijadualkan minggu ini ditangguhkan.

“Saya pun tak pasti berapa lama akan ditahan di wad sebab masih tunggu pemeriksaan doktor.

“Dalam keadaan macam ini pun saya masih fikir tentang perniagaan kedai emas dan jadual kelas yang terpaksa ditangguhkan,” ujarnya seperti dilapor Metro.

Related Articles

Back to top button