Anak 10 Tahun Derma Sel Stem Untuk Selamatkan Bapa, Namun Si Bapa Meninggal Dunia

Seorang lelaki yang disahkan menghidap Acute Myeloid Leukemia pada tahun 2025 meninggal dunia selepas mengalami komplikasi susulan pemindahan sumsum tulang, walaupun menerima sel stem yang didermakan oleh anak lelakinya yang berusia 10 tahun.
Menurut laporan China Press, Leong Jun Hao, 30, didiagnosis menghidap leukemia jenis acute myeloid leukemia (AML) pada Ogos 2025 selepas mendapatkan rawatan akibat pening, sesak nafas dan demam ketika bekerja di Philippines.
Ujian mendapati sel leukemia telah merebak ke lebih daripada 75 peratus tubuhnya.
Keadaannya berjaya distabilkan sementara selepas menjalani enam pemindahan darah secara berturut-turut, namun kos rawatan yang tinggi memberi tekanan kewangan yang besar kepadanya.
Bapa tunggal itu terpaksa berhenti kerja selama beberapa bulan akibat penyakitnya dan bergantung kepada bantuan kewangan daripada keluarga serta rakan-rakan.
Selepas pulang ke Malaysia, dia menjalani dua pusingan kemoterapi bagi mengurangkan jumlah sel kanser dalam tubuhnya.
Doktor kemudian memaklumkan bahawa pemindahan sumsum tulang merupakan satu-satunya peluang untuknya terus hidup. Anak lelakinya yang berusia 10 tahun, Leong Kun Xuan, dikenal pasti sebagai penderma sel stem yang sesuai.
Bagi persediaan prosedur tersebut, kanak-kanak itu menerima suntikan selama empat hari bagi merangsang pertumbuhan sel stem dan menjalani dua prosedur pengambilan sel stem darah periferal di bawah bius penuh.
Kos pemindahan tersebut dianggarkan melebihi RM300,000, dengan prosedur yang melibatkan kanak-kanak itu tidak dilindungi oleh insurans.
Kumpulan kebajikan One Hope Charity and Welfare kemudian melancarkan kempen kutipan dana pada 21 November 2025.
Lebih RM60,000 berjaya dikumpulkan dalam masa kurang dua jam selepas kisah kesediaan kanak-kanak itu mendermakan sel stem untuk menyelamatkan bapanya mendapat perhatian meluas orang ramai.
Sebelum pemindahan dilakukan pada 28 November 2025, kanak-kanak itu dilaporkan berkata kepada bapanya: “Papa, jangan takut. Kali ini saya akan jadi hero papa,” katanya.
Walaupun pemindahan tersebut pada awalnya dianggap berjaya, Leong kemudiannya mengalami komplikasi semasa tempoh pemantauan dan meninggal dunia pada 8 Mac 2026.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 11 Mac, One Hope Charity and Welfare menyatakan bahawa Leong telah memberikan yang terbaik pada setiap langkah dan turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas sokongan yang diberikan kepada keluarga tersebut.



