Masing Masing Cipta Rekod Asia, Ernie Zakri Terharu Raih 236 Juta Penstriman Spotify

Karya hit Masing Masing nyanyian Ernie Zakri terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih lebih 236 juta penstriman di Spotify.
Lagu yang menampilkan sentuhan komposer dan gitaris Ade Govinda itu turut diiktiraf oleh Asia Book of Records sebagai lagu Melayu/Indonesia terpantas mencapai 200 juta penstriman, satu pencapaian yang direkodkan menjelang Ogos 2025.
Pengiktirafan berprestij ini sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Ernie dalam industri muzik serantau, apatah lagi selepas penyanyi bersuara emas itu dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Disember 2025.
Pengiktirafan daripada Asia Book of Records bukan sekadar meraikan kejayaan sesebuah karya, malah menjadi platform penting yang meningkatkan profil artis serta memperluaskan pendedahan media di seluruh rantau Asia.
Malah, platform tersebut turut menghubungkan pencipta rekod dengan tokoh, pemimpin dan inovator lain di benua ini sekali gus mengangkat kejayaan mereka sebagai inspirasi yang berkekalan.
Kejayaan Masing Masing juga dilihat sebagai bukti kukuh kekuatan kolaborasi muzik serantau, yang mampu menembusi sempadan negara serta menyatukan pendengar di seluruh Asia Tenggara melalui karya penuh emosi dan kejujuran.

Menurut Ernie, kejayaan besar lagu ini sebenarnya sesuatu yang tidak pernah dijangka ketika ia mula dihasilkan.
“Saya sangat terharu dan bersyukur bila dapat tahu lagu ini mencapai lebih 236 juta penstriman di Spotify dan diiktiraf oleh Asia Book of Records. Sejujurnya, semasa menghasilkan lagu ini bersama Ade Govinda, matlamat kami adalah untuk menyampaikan sebuah naskhah yang jujur dari segi emosi.
“Melihat ia kini meraih sambutan luar biasa sehingga melakar sejarah, saya amat menghargai sokongan padu para pendengar, terutamanya Ernienators yang setia mendukung perjalanan seni saya sejak awal lagi,” katanya.
Sejak dilancarkan, Masing Masing bukan sahaja menerima sambutan hangat di Malaysia dan Indonesia, malah berjaya menambat hati pendengar di pelbagai negara Asia Tenggara.
Bagi Ernie, kekuatan utama lagu tersebut terletak pada mesej dan emosi yang dekat dengan kehidupan ramai orang.
“Saya rasa kekuatan Masing Masing adalah pada ceritanya yang sangat dekat dengan kehidupan ramai orang. Walaupun ia lagu Melayu/Indonesia, emosi dalam lagu ini bersifat universal, jadi pendengar dari mana-mana pun boleh relate.
Ditambah pula dengan kolaborasi saya bersama Ade Govinda dan susunan muzik yang ringkas tapi menyentuh hati, mungkin itu yang membuatkan lagu ini diterima baik di seluruh Asia Tenggara,” tambahnya.
Dengan pencapaian membanggakan ini, Masing Masing terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara lagu serantau paling berjaya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus membuktikan bahawa muzik yang jujur dan penuh emosi mampu merentasi sempadan bahasa serta budaya.



