Yayasan Kebajikan Artis Tanahair Bantu Dapatkan Kaki Palsu Untuk Sathiya

Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) sedang mempertimbangkan untuk menyenaraikan pelawak veteran, Sathiya, 62, sebagai antara penerima bantuan pencen bulanan sebanyak RM500 susulan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.
Pengerusinya, Datuk DJ Dave berkata, Sathiya atau nama sebenarnya Sathia Periasamy dilihat layak menerima bantuan tersebut selepas kaki kirinya terpaksa dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis yang dihidapinya.
Menurutnya, sejak 14 tahun lalu YKAT telah menyalurkan pencen bulanan sebanyak RM500 kepada beberapa penggiat seni veteran yang layak melalui dana yang dikumpulkan yayasan itu.
“Antara penerima sebelum ini ialah Zaiton Sameon, Mat Sentul, Zainal Rampa, Alfred Ho, Dr. Sam dan beberapa lagi artis veteran.
“Kini kami sedang meneliti kemungkinan untuk memasukkan Sathiya sebagai penerima kelapan memandangkan keadaannya mungkin tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu,” katanya.
DJ Dave turut memaklumkan bahawa pihak yayasan sebelum ini telah dua kali menyalurkan sumbangan kepada Sathiya bagi membantu meringankan beban yang ditanggungnya.
Bagaimanapun, menurutnya, pemberian pencen bulanan secara tetap akan lebih membantu bagi menampung keperluan harian pelawak tersebut.
Terdahulu, pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tuyang itu sekali lagi menjalani pembedahan pada bahagian kaki kirinya di Hospital Ampang selepas mengalami komplikasi penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Dalam pada itu, DJ Dave berkata pihak YKAT juga sedang berusaha mendapatkan bantuan kaki palsu untuk Sathiya menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Setakat ini kaki palsu tersebut sudah pun siap, namun Sathiya masih belum boleh memakainya kerana luka pembedahan pada kakinya masih belum sembuh sepenuhnya,” jelasnya seperti dilapor Kosmo.
Pada masa sama, DJ Dave berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menyalurkan peruntukan kepada YKAT supaya yayasan itu dapat terus membantu penggiat seni veteran yang berdepan kesulitan hidup.
Menurutnya, sejak lapan tahun lalu YKAT tidak lagi menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan walaupun beberapa kertas cadangan telah dikemukakan kepada pihak berkaitan.
Sepanjang tempoh tersebut, yayasan berkenaan banyak bergantung kepada aktiviti dan program kebajikan bagi mengumpul dana, termasuk penganjuran majlis makan malam yang tahun lalu berjaya mengumpulkan kira-kira RM300,000 hasil jualan tempat duduk.



