Global

Selepas Tuduhan ‘Mencuri’, Pereka Fesyen Akui Jisoo Tidak Terlibat Secara Langsung

Anggota kumpulan BLACKPINK, Jisoo disorot kontroversi selepas seorang pereka fesyen yang sebelum ini secara terbuka menuduhnya ‘mencuri’ barangan miliknya tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Benjamin Bortmans, pereka di sebalik jenama fesyen JUDASSIME, memuat naik video di media sosial pada 6 Mei lalu bagi mengulas isu tersebut.

Dalam video itu, Bortmans berkata: “Saya menerima maklumat dari Amerika Syarikat (AS) bahawa isu ini sedang diselesaikan. Seseorang akan ke Korea untuk mengambil semula barangan tersebut,” ulasnya.

Namun, dia tetap mengkritik kurangnya komunikasi berlaku antara dua pihak.

“Kami telah melaburkan banyak masa. Tidak menerima sebarang maklum balas dan berasa tidak dihormati selama enam bulan adalah sesuatu yang sangat mengecewakan,” katanya lagi.

Bortmans turut mempertahankan tindakannya menyebut nama Jisoo secara terbuka, dengan menjelaskan pasukan yang terlibat perlu lebih bertanggungjawab apabila timbul masalah.

Katanya lagi, tanpa menyebut nama Jisoo secara terbuka, mereka mungkin tidak akan menerima sebarang respons mengenai barangan yang hilang.

Selepas menerima kritikan kerana didakwa menuduh Jisoo mencuri barangan miliknya, Bortmans memberi yang dia hanya menggunakan nama penyanyi dan pelakon itu semata-mata mahu mendapatkan respons.

“Saya tidak pernah menyerang Jisoo. Saya hanya menggunakan namanya untuk mendapatkan respons kerana namanya tertera dalam e-mel berkaitan penggambaran tersebut,” ujar Bortmans.

Dalam masa sama, Bortmans juga meminta pemahaman orang ramai, dengan menyatakan keadaan emosinya ketika itu menyebabkan dia mengeluarkan kenyataan yang agak keras.

Kontroversi ini bermula selepas Bortmans mendakwa sejumlah pakaian fesyen yang dihantar enam bulan lalu untuk projek kulit album melibatkan Jisoo dan pasukannya di Korea tidak dipulangkan.

Sebelum ini, dia meluahkan kekecewaan terhadap kelewatan berulang serta kekurangan maklum balas mengenai lokasi barangan tersebut.

Sementara itu, peminat Jisoo berpendapat, barangan tersebut sebenarnya dipinjam oleh sebuah majalah, bukannya oleh Jisoo sendiri, dan mengkritik tindakan pereka tersebut yang memuat naik video seolah-olah menyalahkan artis itu secara langsung.

Related Articles

Back to top button