Terkejut Terima Surat Amaran MPK, Individu Diminta Dapatkan Kebenaran Jiran Jika Mahu Pelihara Anjing Di Rumah
Bagi sesetengah orang, memiliki anjing bukan sekadar memelihara haiwan, tetapi ia juga menjadi teman yang baik untuk mengisi masa, memberi semangat dan menghiburkan hati terutama pada hari-hari sukar.
Begitupun, menjadi pemilik haiwan datang dengan tanggungjawab, termasuk memastikan anjing yang dibela tidak menimbulkan gangguan kepada jiran tetangga.
Menurut laporan Sin Chew Daily, seorang pemilik anjing baru-baru ini meluahkan rasa keliru di media sosial selepas menerima surat amaran daripada Majlis Perbandaran Kluang (MPK).
Berdasarkan surat tersebut, dia dikatakan bersalah kerana memelihara anjing di rumah tanpa kebenaran dan dia diberi tempoh 14 hari untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Keadaan menjadi lebih mengelirukan apabila penjelasan yang diberikan oleh pegawai MPK didakwa tidak masuk akal, membuatkan pemilik anjing itu semakin hairan.
“Saya sudah membela anjing selama lima tahun dan tiada sesiapa pernah buat aduan. Tetapi pegawai MPK beritahu saya bahawa saya perlu minta izin jiran sebelum memiliki anjing.
“Saya satu-satunya yang ada anjing di dalam rumah. Kalau jiran tak setuju, apa yang patut saya buat?” tulisnya di ruangan kapsyen.
Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen, yang berbahas dengan pendapat berbeza-beza.
Ada yang merasakan tindakan itu keterlaluan, malah seorang netizen menyindir sama ada dia juga perlu menandatangani surat jika rumah jiran bising kerana menerima cahaya mata.
Namun, ada juga yang mengatakan prosedur itu tidak pelik, malah seorang pengguna berkongsi pengalaman di mana dia serta jiran lain pernah diminta menurunkan tandatangan bagi memberi kebenaran kepada seorang penduduk yang mahu membela anjing.
Sementara itu, segelintir netizen pula menuduh MPK menyasarkan pemilik anjing sebagai cara mengalihkan perhatian daripada masalah sebenar iaitu kegagalan mengawal populasi anjing liar di Kluang.
