Lagu P Ramlee Saloma Tercalon Di Anugerah Muzik Jepun 2026

Kumpulan Alpha terus mencipta kejayaan apabila tersenarai sebagai calon dalam kategori Pilihan Terbaik Pendengar: Lagu Antarabangsa bagi Anugerah Muzik Jepun 2026 yang bakal berlangsung bulan hadapan.
Pencalonan tersebut menandakan satu pencapaian membanggakan dalam usaha mereka menembusi pasaran muzik global.
Dianggotai oleh Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Araff, Ray-D dan Afiq Sky, Alpha turut melakar sejarah apabila muncul sebagai satu-satunya wakil dari Malaysia dalam kategori itu.
Lebih membanggakan, mereka berdiri sebaris dengan nama-nama besar dunia seperti Taylor Swift, Justin Bieber, Lady Gaga, Blackpink, Shakira, Twice, Seventeen, Jin, Enhypen serta Sabrina Carpenter.
Pencapaian itu sekali gus mencerminkan peningkatan pengaruh muzik M-pop yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pendengar antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, lagu P Ramlee Saloma nyanyian kumpulan tersebut turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi karya tempatan pertama berjaya mara sebagai finalis dalam anugerah berkenaan.
Sejak kemunculan mereka dalam industri, Alpha berjaya mengumpul lebih 60 juta jumlah penstriman keseluruhan, sekali gus membuktikan sokongan padu daripada peminat di dalam dan luar negara.
Kumpulan itu juga pernah meraih dua kemenangan di Gempak Most Wanted Awards, selain lagu P Ramlee Saloma berjaya menembusi kelompok Top 40 carta Spotify Malaysia Daily Top Songs dan menduduki tangga pertama selama 30 hari.
Malah, lagu tersebut turut mengungguli carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai antara kumpulan muzik yang berpengaruh ketika ini.
Anugerah Muzik Jepun 2026 dijadual berlangsung di Toyota Arena Tokyo pada 13 Jun depan.



