Viral

Harith Iskander Cadang Mansuhkan SJKC, Mahu Bahasa Mandarin Jadi Subjek Wajib di Sekolah Kebangsaan

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sejak sekian lama menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan di Malaysia. Bukan sahaja murid berketurunan Cina mendapatkan pendidikan di sekolah tersebut, malah sebahagian besar murid Melayu juga memilih untuk belajar di sana.

Baru-baru ini, pelawak tempatan Harith Iskander mencetuskan perbincangan apabila berkongsi pandangannya mengenai kewujudan SJKC serta mengemukakan satu cadangan alternatif.

Pada permulaan video berdurasi kira-kira dua minit itu, Harith membuat kenyataan yang mengejutkan ramai.

“Saya rasa kita patut mansuhkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC),” tuturnya.

Harith kemudian mengakui ada pihak yang mungkin bersetuju atau tidak bersetuju dengan pandangannya sebelum menjelaskan sebab di sebalik kenyataan tersebut.

“Saya tidak bersetuju dengan konsep SJKC. Bukan kerana saya fikir mereka yang menyokongnya adalah orang yang tidak baik. Malah, saya benar-benar faham mengapa sekolah itu wujud dan mengapa ramai masyarakat Cina di Malaysia masih menghargainya,” katanya.

Harith turut berkongsi bagaimana dia akan merombak sistem pendidikan negara sekiranya diberi peluang untuk membinanya semula dari awal.

“Saya mahu setiap kanak-kanak Malaysia membesar dan belajar bersama, berkongsi satu bahasa yang sama bagi kebanyakan mata pelajaran sejak hari pertama mereka melangkah ke sekolah.

“Selain semua mata pelajaran diajar sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dijadikan subjek wajib, saya juga akan menjadikan Bahasa Mandarin sebagai subjek wajib di setiap Sekolah Kebangsaan.

“Bayangkan setiap kanak-kanak Malaysia menamatkan persekolahan dengan mampu berkomunikasi dengan yakin dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, malah boleh bertutur dalam Bahasa Mandarin. Saya rasa itu sesuatu yang sangat hebat,” tutup Harith.

Related Articles

Back to top button