Trending

“Siapa Musang Berjanggut”- Amira Othman Akan Cari Pemfitnah Sampai Dapat

Penyanyi, Amira Othman menegaskan dia dan suaminya, pelakon Fattah Amin, tidak akan menarik balik laporan yang dibuat terhadap individu di sebalik akaun palsu yang didakwa berterusan menyebarkan fitnah mengenai mereka.

Menurut pemilik nama penuh Nadia Amira Othman, pelbagai mesej diterima daripada orang ramai yang memintanya supaya meneruskan tindakan undang-undang bagi mengenal pasti identiti pemilik akaun dikenali sebagai Musang Berjanggut.

“Mesej langsung (DM) saya penuh dengan orang yang tag saya dan suami supaya jangan tarik laporan untuk mencari siapa Musang Berjanggut yang memfitnah kami macam-macam.

“Mereka bercakap perkara yang tidak elok. Saya baca pun rasa seram, tak takut ke pada Allah?” katanya menerusi hantaran di Threads.

Dalam masa sama, Amira menjelaskan dakwaan kononnya mereka menarik balik laporan adalah tidak benar, sebaliknya kedua-duanya masih meneruskan tindakan bersama pihak berkuasa.

“Kami tidak pernah menarik laporan. Kami turun naik membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Malah, pertemuan kami dengan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil juga adalah bagi membincangkan usaha menangani isu ini,” katanya.

Amira turut meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan kes buli siber yang dilakukan menerusi akaun palsu, selain mempersoalkan keberkesanan mekanisme sedia ada dalam membanteras gejala berkenaan.

“Selagi tiada mekanisme yang benar-benar dapat menyelesaikan masalah ini, selagi itulah ia akan terus berleluasa kerana akaun palsu ini tidak takut. Malaysia tidak ada tindakan tegas. Jadi saya tertanya-tanya, apa fungsi MCMC?

“Akhirnya orang hanya suruh jangan baca. Tapi kalau kami diam dan tidak membalas pun, mereka semakin melampau hingga boleh menjejaskan mental dan emosi sesiapa sahaja yang menjadi mangsa,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Amira berharap identiti individu di sebalik akaun palsu tersebut dapat didedahkan dengan bantuan orang ramai.

“Kami tidak akan menarik laporan kerana kami juga mahu tahu siapa Musang Berjanggut yang begitu berani berselindung di sebalik akaun palsu. Mungkin dengan kuasa netizen dan isu ini menjadi tular, perkara ini dapat diselesaikan,” luahnya.

Sebelum ini, akaun dikenali sebagai Musang Berjanggut pernah mendakwa Fattah gagal melunaskan tunggakan yuran persekolahan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya.

Berdasarkan pemerhatian, akaun terbabit sering memuat naik pelbagai dakwaan dan spekulasi membabitkan Fattah serta Amira.

Terdahulu, Fattah turut memaklumkan bahawa dia sudah lama membuat laporan polis dan mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa berhubung akaun yang didakwa berulang kali menyebarkan maklumat palsu mengenai dirinya.

Related Articles

Back to top button