Berita

Panasonic Henti Operasi Pembuatan TV Di Malaysia Menjelang 2027, 400 Pekerja Terjejas

Panasonic akan menghentikan pengeluaran televisyen di Malaysia sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula perniagaan produk audio dan visual syarikat itu.

Dalam kenyataan rasmi bertarikh 27 Julai, Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. (PAVCKM) memaklumkan mereka akan menamatkan operasi pembuatannya secara berperingkat, dengan kira-kira 400 pekerja dijangka terjejas.

Selain menghentikan pengeluaran televisyen, Panasonic turut akan memindahkan pengeluaran pemain Blu-ray Disc dari Malaysia ke China Hualu Panasonic AVC Networks Co. Ltd. di China.

Menurut syarikat itu, langkah tersebut diambil bagi mengukuhkan daya saing perniagaan AVC (Audio Visual Communications) Panasonic.

PAVCKM juga akan menghentikan pengeluaran produk audio Hi-Fi berjenama Technics menjelang penghujung Februari 2027, sebelum pengeluarannya dipindahkan ke sebuah lagi syarikat di bawah Kumpulan Panasonic.

Susulan penstrukturan semula itu, PAVCKM dijangka menamatkan operasinya sepenuhnya menjelang akhir Mac 2027.

“Kira-kira 400 pekerja dijangka terjejas menjelang akhir Mac 2027,” ujar kenyataan berkenaan.

Panasonic memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, agensi kerajaan serta Kesatuan Pekerja Industri Elektrik bagi membantu pekerja yang terjejas.

Antara bantuan yang akan disediakan termasuk sokongan penempatan pekerjaan baharu serta program peralihan kerjaya.

Walaupun PAVCKM akan ditutup, Panasonic akan terus menghasilkan beberapa produk audio tertentu di Malaysia. Panasonic turut menegaskan yang jualan televisyen dan produk audio, termasuk perkhidmatan selepas jualan di Malaysia, akan diteruskan seperti biasa.

Ini bermakna pengguna di Malaysia masih boleh membeli televisyen dan produk audio Panasonic serta mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan seperti biasa.

“Malaysia kekal sebagai salah satu hab serantau utama Panasonic,” ujar kenyataan itu lagi.

Ketika ini, Kumpulan Panasonic menggaji kira-kira 12,000 pekerja di seluruh negara dalam pelbagai bidang termasuk pembuatan bernilai tinggi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta operasi korporat.
Syarikat itu turut menegaskan mereka akan terus melabur di Malaysia, khususnya dalam rantaian bekalan bernilai tinggi, sambil terus menyumbang kepada pembangunan negara dan komuniti setempat.

Related Articles

Back to top button