Trending

Amir Ahnaf Buang Saka Dalam Badan

Pelakon, Amir Ahnaf, 26, mendedahkan keadaannya kini semakin pulih selepas melalui fasa sukar apabila didakwa berdepan gangguan saka yang memberi kesan besar terhadap emosi dan kehidupan peribadinya sejak dua tahun lalu.

Amir, bagaimanapun menegaskan dia tidak berniat memaksa orang ramai untuk mempercayai kisah yang dikongsikan, sebaliknya hanya mahu meningkatkan kesedaran tentang apa yang pernah dilaluinya.

Menurutnya, keadaan dirinya kini jauh lebih baik berbanding sebelum ini dan dia bersyukur kerana diberikan kekuatan untuk kembali bangkit.

“Saya bersyukur sebab keadaan sekarang jauh lebih sihat berbanding dua tahun lepas. Soal orang nak percaya atau tidak, itu bukan tanggungjawab saya.

“Saya hanya berkongsi supaya orang lebih faham dan ada kesedaran tentang perkara seperti ini,” katanya.

Mengimbas kembali detik gangguan tersebut, Amir mengakui dirinya berubah menjadi seorang yang lebih tertutup dan sukar bergaul dengan orang sekeliling.

Katanya, emosi yang tidak stabil ketika itu menyebabkan dia cenderung menyendiri selain mudah menyimpan perasaan negatif terhadap orang lain.

“Saya jadi tak suka jumpa orang, lebih selesa bersendirian dan mudah benci orang. Kalau orang buat jahat pada saya, saya balas lebih teruk.

“Tapi sekarang Alhamdulillah, saya sudah lebih tenang berbanding sebelum ini,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Amir memaklumkan dia telah menjalani rawatan bagi mengatasi gangguan tersebut di Tawau, Sabah, tahun lalu.

“Proses buang itu sebenarnya sudah selesai tahun lepas. Saya pergi Sabah untuk rawatan dan pembersihan. Selepas itu, keadaan saya semakin baik dan lebih terkawal,” katanya.

Sebelum ini, Amir pernah berkongsi pengalaman berdepan gangguan tersebut menerusi sebuah podcast, termasuk kesannya terhadap ibadah dan hubungan percintaan.

Dia juga memaklumkan telah mendapatkan penjelasan daripada ibunya, yang memberitahu bahawa keluarganya mempunyai latar belakang berkaitan saka.

Related Articles

Back to top button