Music

EXO Bukti Status Raja K-pop, Selesai Jelajah Dunia Dengan 27 Konsert Sold Out

Kumpulan K-Pop EXO berjaya menamatkan jelajah konsert solo keenam mereka, EXO PLANET #6 – EXhOrizo’, sekali lagi menghiburkan peminat di seluruh dunia menerusi persembahan bertenaga dan memukau.

Jelajah itu bermula di Seoul pada April lalu sebelum menjelajah ke 14 bandar termasuk Ho Chi Minh, Nagoya, Taipei, Bangkok, Macau, Osaka, Jakarta, Hong Kong, Kuala Lumpur, Manila, Tokyo, Kaohsiung dan Singapura.

Sepanjang 27 persembahan, semua tiket habis dijual sehingga penganjur menambah tarikh konsert serta membuka tempat duduk pandangan terhad di beberapa lokasi susulan permintaan yang tinggi.

Peminat turut dihiburkan dengan senarai lagu yang pelbagai, termasuk persembahan bertenaga menerusi Crown, EL DORADO dan Back It Up, selain segmen yang lebih intim menerusi lagu Crazy, PLAYBOY, Walk on Memories dan Into Your World.

Pengalaman konsert turut dipertingkatkan apabila EXO menggabungkan konsep dunia unik mereka ke dalam keseluruhan produksi.

Media antarabangsa turut memuji kualiti persembahan kumpulan itu. Forbes menyifatkan EXO sebagai artis yang telah lama membuktikan kehebatan mereka, sambil menggambarkan pengalaman menonton persembahan mereka sebagai satu sambutan yang penuh meraikan muzik.

Media Vietnam, Tiền Phong, pula menyatakan EXO berjaya menepis keraguan terhadap artis senior dengan membuktikan mereka masih relevan dan penuh tenaga. Penyiar Filipina, ABS-CBN, menyifatkan jelajah itu sebagai detik penting yang sekali lagi membuktikan keunikan EXO dalam industri K-Pop.

Awal tahun ini, EXO turut melancarkan album studio kelapan mereka, REVERXE, yang berjaya melepasi jualan kumulatif sejuta unit, sekali gus menjadi album kelapan kumpulan itu yang mencapai status million seller.

Lagu utamanya, Crown, turut meraih lima kemenangan dalam program muzik, termasuk di rancangan utama seperti Music Bank, Show! Music Core dan Inkigayo.

Menerusi kejayaan album dan jelajah dunia ini, EXO terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara nama paling berpengaruh dalam industri K-pop, dengan peminat dan pemerhati industri kini menantikan projek mereka yang seterusnya.

Related Articles

Back to top button