Janji Malam Ikonik, XPDC Kita Peng Yu Umum Penyertaan Tiga Nama Besar

Selepas lebih 60 persembahan setahun di Malaysia, Sabah, Sarawak dan Brunei, XPDC Kita Peng Yu kini bersedia menggegarkan Odeon Kuala Lumpur menerusi konsert XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud At Odeon KL pada 22 Ogos depan.
Lebih mengujakan, konsert itu bakal diserikan dengan kemunculan tiga nama besar muzik rock tanah air iaitu Yan Lefthanded, Jatt Ali dan Syed Ali, adik kepada Allahyarham Mael, menerusi tiga segmen khas iaitu Metal, Tribute dan Metal 60-an.
Pengarah Urusan Rockstation & Event Entertainment, Mozylir Moktaruddin berkata, konsert berkenaan dianjurkan selepas melihat sambutan luar biasa peminat terhadap XPDC Kita Peng Yu di setiap lokasi persembahan mereka.
“XPDC Kita Peng Yu sememangnya mempunyai kelompok peminat yang sangat besar. Selepas melakukan tinjauan dan melihat sambutan yang diterima kumpulan ini di pelbagai lokasi, kami yakin sudah tiba masanya untuk merealisasikan sebuah konsert eksklusif buat mereka.
“Malah kami percaya peminat dari Sabah, Sarawak dan Brunei juga akan hadir kerana sokongan terhadap muzik rock di sana masih sangat kuat,” ujarnya.

XPDC Kita Peng Yu yang dianggotai Arry (vokal), Jeff (gitar), Zuar (bass) dan Amy (dram) terus membuktikan pengaruh mereka apabila kekal menjadi antara kumpulan rock paling aktif menerima undangan persembahan walaupun selepas pemergian vokalis ikonik, Allahyarham Mael.
Konsert berdurasi lebih dua jam itu bakal menyajikan deretan lagu hit yang membesarkan nama XPDC selain mempersembahkan single terbaharu mereka, Satu Arah.
Mozylir berkata, pihak penganjur turut memberi penekanan terhadap aspek audio, visual dan produksi bagi memastikan penonton menikmati pengalaman konsert yang lebih berkualiti.
Sementara itu, pemain bass XPDC Kita Peng Yu, Zuar berkata, persembahan bertiket menuntut komitmen yang lebih tinggi kerana peminat hadir dengan jangkaan yang besar.
“Bila kita buat konsert berbayar, peminat datang dengan harapan yang lebih tinggi. Sebab itu kami beri perhatian kepada setiap aspek termasuk susunan lagu, sistem bunyi, pencahayaan dan keseluruhan produksi.
“Kami mahu setiap peminat yang hadir pulang dengan rasa puas dan merasakan mereka benar-benar mendapat pengalaman yang istimewa,” katanya.

Pengurus XPDC Kita Peng Yu, Mohd Yazid Selamat pula yakin konsert itu mampu menghimpunkan peminat rock dari dalam dan luar negara berdasarkan rekod cemerlang kumpulan berkenaan setiap kali beraksi di pentas.
“Kami akan sajikan sebuah malam yang penuh tenaga dengan deretan lagu hit yang sentiasa menjadi kegemaran peminat. XPDC Kita Peng Yu mempunyai kredibiliti untuk memberikan persembahan yang mantap dan menghiburkan.
“Peminat juga berpeluang menyaksikan sesi uji bunyi dan latihan, serta dapat berjumpa dengan semua ahli XPDC Kita Peng Yu pada petang hari konsert berkenaan di ODEON KL,” tambahnya.
Tiket konsert dijual pada harga RM98 hingga RM298 menerusi laman web www.officialxpdckitapengyu.com/



