Zed Zaidi Optimis Briged Seni Kreatif Mampu Tarik 1,200 Penyertaan

Menyambut baik usaha untuk mengumpulkan seramai 1,200 penggiat industri kreatif untuk menyertai Briged Seni Kreatif di bawah Angkatan Pertahanan Awam (APM), perkara tersebut tidak mustahil untuk dilaksanakan menjelang 2026.

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kolenel Bersekutu (PA) Zed Zaidi, hasrat tersebut boleh dicapai dengan pelbagai perancangan yang sedang diatur oleh pihaknya.

“Kita sedang mengatur beberapa gerak kerja untuk memastikan hasrat Menteri Komunikasi yang mahu Briged Seni Kreatif mencapai keanggotaan seramai 1,200 ahli seterusnya bersiap sedia menghadapi bencana.

“Sebagai langkah pertama, APM sudah memberikan tauliah kepada anak seni yang terpilih baru-baru ini. Mereka yang dipilih datang daripada  pelbagai lapangan dan sudah melalui tapisan yang ketat daripada pihak FINAS dan pihak APM,” kata Zed.

Terdahulu seramai 172 anak seni daripada empat cabang atau disiplin sudah menerima pentauliahan daripada Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed sempena Penutup Bulan Perahanan Awam 2025.

Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Pertahanan Awam pada Selasa lalu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadhilah Yusof bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Jelas Zed yang juga merupakan Pengerusi Briged Seni Kretif APM berkata, beliau menyambut baik penyertaan anak seni daripada pelbagai lapangan untuk sama-sama berganding bahu dalam kerja sukarela.

“Pihak kami menyambut baik penyertaan daripada mereka dan berharap lebih ramai lagi anak seni akan turut sama menyertai APM. Ada pelbagai perancangan telah dibuat selain bersiap siaga dalam menghadapi bencana alam dan sebagainya.

“Berdasarkan maklum balas positif yang diterima, kita yakin Briged Seni Kreatif ini berada  dilandasan yang tepat dan bakal menarik lebih ramai orang industri untuk sama-sama menyertainya nanti,” katanya.

Seramai 172 anak seni daripada pelbagai lapangan diberikan pentauliahan APM baru-baru ini.

Di bawah Briged Seni Kreatif sebagai empat cabang atau kategori diletakkan termasuklah Bakat, Media, Agensi (FINAS) dan Ilmu Alam yang akan membantu APM mengendalikan sebarang ketidaktentuan seperti banjir dan sebagainya.

Menariknya, penglibatan anak seni ke dalam kerja sukarela ini turut diambil kira untuk Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) FINAS yang merupakan satu program penarafan bakat tempatan.

MyCAP menerupakan inisatif yang rangka sebagai pusat pengumpulan data induk berkaitan dengan penggiat industri yang terdiri daripada pelbagai lapangan bidang. Data yang dikumpul akan disaring dan memudahkan proses mengenal pasti kelayakan dan kapasiti pencapaian setiap individu.

Sebanyak empat kategori diwujudkan di bawah MyCAP termasuklah pengalaman (40 peratus), kemahiran (40 peratus), pencapaian (10 peratus) dan sumbangan industri termasuk kerja sukarela (10 peratus).

“Apabila mereka menyertai APM, ini bermakna mereka telah menambah baik penarafan MyCAP setiap individu yang berdaftar. Ini hasrat kami untuk memastikan warga industri mengambil  peluang yang ada  untuk sama-sama dalam kerja sukarela.

“Pelbagai perancangan lain turut diatur oleh pihak FINAS khususnya bagi memastikan segala agenda terlaksana seterusnya melestarikan lagi industri kreatif tempatan,”  ujar Zed lagi.

Related post

Leave a Reply