Syafiq Kyle, Mimi Lana Selamat Bernikah
Desas-desus pernikahan pelakon Syafiq Kyle dan Mimi Lana akhirnya terjawab apabila pasangan ini mengesahkan selamat bernikah pada petang Jumaat melalui satu perkongsian di Instagram.
Menerusi gambar yang dimuat naik, pasangan sama cantik dan sama padan ini mengenakan busana berona putih sebaik sahaja selesai diijabkabulkan dalam satu majlis tertutup yang dipercayai berlangsung di Taiping, Perak.
Melalui kapsyen yang dimuat naik, Syafiq menzahirkan rasa syukur apabila majlis pernikahan mereka berjalan lancar.
“Alhamdulillah, selamat bernikah di hari Jumaat yang penuh berkat,” tulisnya ringkas.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis turun mengucapkan tahniah kepada pasangan ini yang selamat menjadi pasangan suami isteri.
Terdahulu, pasangan ini mencuri tumpuan apabila membatalkan majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada 18 Ogos 2023.