Siti Saleha Kembali Bergelar Isteri
PELAKON Siti Saleha sah bergelar isteri kepada pereka fesyen Joshua Fitton, 38, dalam satu majlis akad nikah yang diadakan secara tertutup di sebuah resort mewah di Janda Baik, Pahang jam 9 pagi, Sabtu.
Akad nikah tersebut telah disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Baharum Abdul Rahman, dalam satu majlis ringkas yang disaksikan 40 ahli keluarga dan kenalan terdekat sahaja.
“Alhamdulillah, majlis akad nikah pagi ini berjalan lancar dan dipermudahkan segala-galanya. Selepas lebih tiga tahun hidup bersendirian, akhirnya saya menemui pasangan serasi. Hanya tiga bulan bertunang, saya kini kembali menggalas tanggungjawab sebagai isteri.
“Saya dan Joshua memiliki banyak persamaan, apatah lagi, kami berdarah kacukan Melayu-Inggeris. Jadi, kami ‘satu kepala’ dan saling memahami. Semoga perkahwinan kedua ini diberkati Allah dan kekal hingga penghujung usia,” katanya seperti dipetik BH Online.
Dalam majlis itu juga, pengantin lelaki menyerahkan lima dulang hantaran, dibalas tujuh
hantaran oleh pengantin perempuan berserta mas kahwin dan wang hantaran dirahsiakan
jumlahnya.
Sebagai info, Siti Saleha, 35, pernah mendirikan rumah tangga dengan pegawai kerajaan,
Ahmad Lutfi Azhar pada 28 Julai 2017, namun berpisah pada 2022.