Sempat Solek Isteri Sempena Syawal, Prince Syed Berkerusi Roda Akibat Jatuh Longkang
GARA-gara mengalami kecederaan pada kaki akibat jatuh longkang pada awal pagi Isnin, pempengaruh dan usahawan Prince Syed terpaksa beraya di atas kerusi roda.
Memetik mStar, Prince Syed berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia sedang dalam perjalanan pulang dari kedai mamak di Klang.
“Pukul 2 pagi tadi (semalam), anak merengek nak makan roti canai. Jadi kami pergi ke sebuah kedai mamak berdekatan dengan rumah. Masa nak balik, tak perasan ada longkang.
“Jadi, saya terjatuh ke dalam longkang dan terus ke unit kecemasan. Doktor dah buat imbasan, syukur tak patah atau retak. Cuma tisu koyak. Memang sakit sangat.
“Terpaksalah saya beraya duduk di atas kerusi roda. Sepatutnya kena simen, tapi saya tak mahu sebab nak beraya dulu,” katanya.
Sungguhpun ditimpa kemalangan, Prince Syed tetap bersemangat membuat persiapan bagi meraikan Aidilfitri bersama.
Lebih istimewa, sungguhpun berada dalam keadaan sakit, Prince Syed tetap mempersiapkan isterinya untuk berhari raya.
“Kalau ikutkan, malas nak pakai baju raya. Tapi sebab dah keluar modal besar, rasa terkilan pula kalau tak pakai. Lepas balik hospital, terus saya mandi dan siapkan isteri.
“Saya sendiri yang mekap isteri, memang wajib saya solek wajah dia. Kemudian masa bergambar, saya bangunlah sekejap dari kerusi roda,” ujarnya yang turut menyediakan 30 pasang pakaian untuk isteri dan anak-anaknya bagi digayakan sepanjang bulan Syawal.